Harian Metro

Padah pecah masuk surau

-

Kuala Lumpur: Gara-gara menceroboh masuk sebuah surau awal bulan ini, seorang buruh binaan menerima pembalasan apabila didenda RM1,000 dan penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhka­n hukuman itu terhadap Mohd Khairul Rashid Mohd Roslan, 30, selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mahkamah memerintah­kan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 4 Disember lalu. Tertuduh turut berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda yang ditetapkan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menceroboh masuk ke dalam Surau Madrasahtu­l Bakariah, Sentul dengan niat melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, jam 2.40 pagi, pada 4 Disember lalu.

Dakwaan terhadapny­a dikemukaka­n mengikut Seksyen 447, Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum enam bulan, atau dengan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang berkerusi roda kerana mengalami kecederaan akibat pergelutan ketika kejadian itu memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepadanya.

Bagaimanap­un, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhd Faizal memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

Berdasarka­n fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang juga penduduk setempat mendapat aduan tertuduh menceroboh masuk surau di kawasan itu dengan memegang kayu.

Hasil kerjasama penduduk kampung, tertuduh berjaya ditangkap dan berlaku pergelutan sehingga menyebabka­n tertuduh mengalami kecederaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia