Harian Metro

PANGGIL 24 SAKSI

- Rudy Syareme Sheriffudi­n am@hmetro.com.my

Polis merekodkan keterangan daripada 24 saksi dan mangsa kes tembakan rambang yang menyebabka­n tiga maut manakala lima cedera di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, 1 Disember lalu.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, pihaknya masih menjalanka­n siasatan mengenal pasti kejadian sebenar termasuk ujian balistik diadakan di tempat kejadian, Rabu lalu.

“Dalam siasatan berkenaan, beberapa bahan bukti termasuk 11 kelongsong peluru dan magazine peluru kosong ditemui di tempat kejadian.

“Kami menjangkak­an kertas siasatan siap dalam tempoh terdekat sebelum dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwara­ya untuk arahan selanjutny­a,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Roslee Chik, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Senior Asisten Komisioner Zainol Samah dan Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalath­rash Wahid.

Dalam kejadian jam 7.15 malam Khamis lalu, tiga mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Datuk Ong Teik Kwang, 32; Senthil Murugiah, 38, dan Choi Hon Ming,32.

Mangsa cedera pula adalah jurukamera RTM, Mohamad Amirul Amin Mohamed Amir, 28; Lee Hion Boon, 33, Nurul Huda Aziz, 38; Arivarni Krishan, 33, dan Lim Boon Leng, 32.

Kelmarin, mahkamah melanjutka­n tempoh tahanan reman tujuh hari ke atas suspek utama yang juga pengawal peribadi sehingga 15 Disember ini manakala seorang lagi iaitu pemandu dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata, dua lelaki berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan kes mencederak­an seorang lelaki dengan getah paip pada majlis penghormat­an terakhir mendiang Ong.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan dalam dua lokasi berasingan sekitar pusat bandar, Rabu lalu hasil maklumat awam diterima.

“Sejak kejadian lelaki dipukul dengan getah paip pada 3 Disember lalu, kami menahan seorang lelaki berusia 30-an bagi membantu siasatan kes berkenaan dan lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman berakhir.

“Dua lagi suspek yang ditahan masih direman dan polis membuat permohonan lanjutan tahanan reman selepas tempoh reman mereka berakhir hari ini,” katanya.

Dalam kejadian jam 5 petang 3 Disember lalu, polis mendapat maklumat mengenai seorang lelaki dipukul di Tanah Perkuburan Khoo Kongsi, Air Itam sebelum sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dihantar ke tempat kejadian dan menyelamat­kan lelaki berkenaan.

Mangsa lebam pada mata kanan, bengkak pipi, cedera di hidung, badan serta kedua-dua tangan dipercayai dipukul menggunaka­n senjata tumpul.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia