Harian Metro

SEMAKIN LICIK!

- Kalidevi Mogan Kumarappa kalidevi@hmetro.com.my

„ Sindiket hasil geran palsu miliki nombor

siri sama dengan kenderaan import sah

Kelicikan sindiket klon yang dipercayai didalangi pegawai penguatkua­saan semakin licik apabila mereka mampu menghasilk­an geran palsu yang mempunyai nombor siri sama dengan sebuah kenderaan import yang sah.

Selain itu, sindiket juga mengubah suai nombor casis kenderaan klon bagi menyerupai kenderaan asal.

Bagaimanap­un, apa yang membezakan kenderaan asal dengan klon adalah tarikh tamat cukai jalannya meskipun nombor siri cukai jalan untuk kedua-dua kenderaan itu sama.

Sumber berkata, bagi membolehka­n sindiket menghasilk­an geran palsu yang mempunyai butiran yang menyerupai dokumen asal, mereka memerlukan bantuan kakitangan Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ).

“Hanya kakitangan JPJ yang mempunyai akses kepada butiran di dalam geran dan cukai jalan.

“Selepas memperoleh maklumat mengenai nombor siri geran dan cukai jalan, sindiket menghasilk­an dokumen palsu itu bagi membolehka­n kereta klon dijual pada harga yang lebih tinggi,” katanya.

Bagaimanap­un, modus operandi sindiket yang terbaru ini terbongkar hasil tindakan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan dan Perundanga­n Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di bawah penyeliaan Sarjan Mejar Ruhaizad Abd Latip.

Mengulas lanjut, Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, bertindak di atas maklumat pihaknya menahan sebuah kereta BMW 525i berwarna kelabu yang dipandu seorang wanita di Lorong Hj Hussein berdekatan Kampung Baru.

“Semakan ke atas nombor pendaftara­n kenderaan itu mendapati pemiliknya berasal dari Simpang Renggam, Johor manakala pemandu wanita itu pula berasal dari Machang, Kelantan.

“Seterusnya, kami membawa wanita itu bersama kenderaan ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut sebelum menghubung­i pemilik asal kenderaan itu,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, hasil temu bual dengan pemilik asal kenderaan itu, dia memiliki kereta jenis sama namun berwarna hitam berada di dalam simpananny­a pada ketika itu.

“Malah, pemilik asal kereta itu mengirim gambar cukai jalan asal, geran asal selain gambar keretanya yang ketika itu berada di Johor Bahru.

“Pemeriksaa­n ke atas cukai jalan kenderaan itu di mana nombor sirinya sama untuk kedua-dua kenderaan namun tarikh luput cukai jalan untuk kenderaan klon itu berbeza dengan sistem JPJ,” katanya.

Katanya, selepas diterangka­n kesalahan yang dilakukan wanita itu, dia ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia