Harian Metro

Pencuri panik tertinggal pistol

-

Dua penjenayah yang panik selepas gagal membuka laci almari di pejabat sebuah kedai emas dalam pasar raya di Kepong, tertinggal sepucuk pistol atas meja dalam pejabat berkenaan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, dua suspek lelaki dipercayai warga tempatan masuk ke dalam premis dengan bertopi dan sarung tangan sambil mengacukan pistol ke arah juruwang premis.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, sebaik memasuki kedai emas itu, seorang suspek membuka almari kaca dan melarikan beberapa utas jam tangan.

“Suspek kedua pula memasuki pejabat premis itu dan cuba membuat laci almari. Apabila gagal membuka laci berkenaan, suspek menjadi panik sebelum meninggalk­an sepucuk pistol di atas meja dalam pejabat itu.

“Dia melarikan diri melalui tangga belakang pasar raya dengan menaiki sebuah kereta jenis Mercedes E250,” katanya semalam.

Menurutnya, anggaran kerugian dan barangan yang dilarikan suspek masih dalam siasatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia