Harian Metro

FOKUS LAYAN SPURS

- AFP

London

Kemelut berpanjang­an terus membayangi skuad Manchester United kendalian Jose Mourinho ketika mereka bersiap sedia menyambut kedatangan Tottenham Hotspur ke Old Trafford dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam ini.

Tanpa kemenangan di laman sendiri dalam empat perlawanan liga, United ketinggala­n kepada Tottenham yang menduduki tempat kelima dengan enam mata dan mempunyai peluang tipis menempah tiket ke Liga Juara-Juara sekiranya mengalami kekalahan.

Persediaan ke Ukraine untuk aksi Liga Europa turut terganggu yang menyaksika­n mereka menewaskan Zorya Luhansk 2-0 untuk menempah kelompok 32 pasukan terbaik namun buat Paul Pogba semua itu tidak boleh dijadikan alasan.

“Apabila beraksi dalam kejohanan itu, anda beraksi setiap tiga hari,” kata pemain tengah Perancis itu.

“Kami mempunyai pemain untuk digilirkan dan bersiap sedia untuknya. Kami perlu bersedia berdepan perlawanan itu.

“Apabila anda membuat persediaan pra-musim, itu bermakna anda perlu bermain setiap tiga hari.

“Kami sedar sukar untuk berdepan Tottenham. Kami bermain di laman sendiri dengan tidak menang empat perlawanan dan hanya mencatat empat seri. Jadi, kami perlu menang perlawanan ini dan mara ke puncak liga.”

Biarpun perjalanan jauh memberi komplikasi yang tidak disenangi Mourinho, Liga Europa memberikan United aura positif sejak beberapa minggu kebelakang­an ini.

Tottenham yang hanya meraih satu kemenangan daripada 10 perlawanan semua kejohanan mungkin boleh bersimpati dengan nasib yang menimpa United.

Laluan berliku menamatkan kempen Spurs di Liga Juara-Juara sebelum ia benar-benar bermula selain menyaksika­n mereka tercicir tujuh mata di belakang pendahulu Chelsea dalam perebutan gelaran.

Namun mereka akan berkunjung ke utara dengan penuh semangat hasil dua kemenangan selepas membelasah Swansea City 5-0 hujung minggu lalu sebelum membenam CSKA Moscow 3-1 untuk menyertai United dalam Liga Europa.

Prestasi mengagumka­n bekas kelab Mourinho, Chelsea di bawah kendalian Antonio Conte hanya memburukka­n keadaan buat jurulatih kelahiran Portugal itu namun pengurus Spurs Mauricio Pochettino terus menghormat­i rakan sejawatann­ya.

“Bagi saya beliau adalah Yang Istimewa dan akan terus menjadi Yang Istimewa,” kata Pochettino yang pasukannya pernah menewaskan United 3-0 di White Hart Lane apabila kedua-dua pasukan bertemu buat kali terakhir April lalu.

“Bagi saya beliau adalah rujukan apabila saya memulakan karier di Espanyol. Beliau sentiasa baik dengan saya dan bersikap terbuka.

“Saya sentiasa menilai rakan sejawatan saya dan cuba bersikap objektif. Saya percaya beliau antara yang terbaik.

“Ada kalanya anda bergelut dengan keadaan. Bukan mudah untuk berada di kelab baru, membentuk idea dan falsafah buat pasukan tetapi bagi saya beliau adalah dan sentiasa menjadi antara pengurus terbaik dalam sejarah bola sepak.”

„ Pogba mahu lupakan kemelut pasukan, tekad bantu United raih tiga mata di Old Trafford

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia