Harian Metro

Tunggu seawal 9 pagi

- Muhaamad Hafis Nawawi mhafis@hmetro.com.my

„ 15,000 rakyat Kedah sambut kepulangan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah

Walaupun hujan renyai, namun ia tidak mematahkan semangat lebih 15,000 rakyat jelata yang berduyun-duyun menyambut keberangka­tan pulang Yang di-Pertuan Agong ke-14 Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, di sini, semalam.

Pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur itu sanggup menunggu seawal jam 9 pagi di sepanjang laluan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) ke Istana Anak Bukit sejauh 4.7 kilometer (km) bagi menyambut keberangka­tan pulang baginda berdua.

Di sepanjang 15 perhentian sementara membabitka­n laluan sejauh 4.7km itu, turut kedengaran ungkapan ‘Daulat Tuanku’ oleh rakyat jelata sebaik kenderaan milik Tuanku Abdul Halim melalui jalan berkenaan sambil baginda berdua melambai ke arah mereka.

Terdahulu, istiadat Perarakan Diraja dan Lambaian Kasih sempena keberangka­tan pulang Tuanku Abdul Halim berjalan lancar di LTSAH sebaik baginda bersama Sultanah Kedah tiba dari Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA).

Pesawat yang membawa baginda berdua dari KLIA diiringi dua pesawat Sukhoi SU-30MKM sebelum baginda berdua disambut dengan nyanyian lagu Negaraku serta Allah Selamat Sultan sambil diiringi 21 das tembakan meriam dari Rejimen Ketiga Artileri Diraja.

Tuanku Abdul Halim berkenan memeriksa pasukan kawalan hormat dan istiadat diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin sebelum disusuli nyanyian lagu Negaraku buat kali kedua.

Baginda kemudian dibawa berarak dari LTSAH ke Istana Anak Bukit dan disambut rakyat Kedah.

Tuanku Abdul Halim menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, semalam, dan digantikan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Baginda mencatat sejarah apabila ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada 2011 selepas ditabalkan buat pertama kali pada 1970 untuk tempoh lima tahun.

Istiadat semalam disertai lebih 200 individu dari pelbagai agensi kerajaan termasuk 103 anggota dan tiga pegawai dari Batalion ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja.

 ??  ?? YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah di Istiadat Keberangka­tan Balik Baginda di Balai Penghadapa­n Istana Anak Bukit.
YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah di Istiadat Keberangka­tan Balik Baginda di Balai Penghadapa­n Istana Anak Bukit.
 ??  ?? PESAWAT yang membawa Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah selamat tiba Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.
PESAWAT yang membawa Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah selamat tiba Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.
 ??  ?? RAKYAT berbilang kaum tunggu sejak awal pagi lagi.
RAKYAT berbilang kaum tunggu sejak awal pagi lagi.
 ??  ?? GOLONGAN belia tidak ketinggala­n menyambut kepulangan Tuanku.
GOLONGAN belia tidak ketinggala­n menyambut kepulangan Tuanku.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia