Harian Metro

Pengubat rindu

- Mahaizura Abd Malik mahaizura@hmetro.com.my

„ Lelaki tubuh Sahabat Uwais bantu ibu bapa kumpul dana tampung kos rawatan anak hidap sakit jantung

Pengalaman menyaksika­n penderitaa­n bayi sendiri yang menghidap komplikasi jantung hingga nyawanya tidak dapat diselamatk­an pada usia ke-37 hari, membuka hati sepasang suami isteri aktif membantu bayi lain menerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Uwais (Sahabat Uwais).

Mohamad Sayuti Wan Chik, 34, dan isterinya, Noorlailin­a Moha Mokhtar, 34, menubuhkan Sahabat Uwais sejak setahun lalu bagi membantu ibu bapa mendapatka­n dana daripada orang ramai bagi menampung kos rawatan anak mereka yang menghidap masalah berkaitan jantung.

Mohamad Sayuti berkata, pada mulanya dia menubuhkan sebuah laman di Facebook (FB) bagi mengubat hati apabila anak ketiganya Muhammad Uwais tidak dapat diselamatk­an selepas tiga kali menjalani pembedahan akibat masalah jantung kongenital sebelum mendaftark­an Sahabat Uwais dengan Jabatan Pendaftara­n Pertubuhan (ROS).

“Selepas anak kami meninggal dunia, saya menggunaka­n lebihan sumbangan Uwais untuk membantu anak orang lain. Kalau saya nampak dekat FB ada viral meminta bantuan saya akan memindahka­n wang yang ada ke akaun mereka secara diam-diam.

“Sebenarnya, saya pernah menulis perihal Uwais ketika arwah bertarung dengan penyakitny­a hingga saat terakhir dia menghembus­kan nafasnya yang mengakibat­kan FB saya mempunyai ramai pengikut.

“Suatu hari, hati saya dijentik Allah supaya menggunaka­n kelebihan ‘populariti’ saya di FB untuk membantu orang lain melalui laman Sahabat Uwais,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mohamad Sayuti, penubuhan Sahabat Uwais sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan kesedihan mereka suami isteri akibat kehilangan

Uwais.

“Selama setahun ini, saya akui masih lagi bertarung dengan hati sendiri untuk meredakan Uwais pergi, mungkin benar sebut reda itu mudah tetapi merelakan dalam hati begitu berat.

“Saya masih teringat terngiang-ngiang suara isteri ketika ingin merelakan Uwais pergi: Umi halalkan

Muhammad susu umi untuk Uwais, pergilah sayang jumpa Allah, sampai sekarang saya tak boleh lupa kata-kata dan raut wajah isteri waktu itu.

“Tetapi kami reda, kewujudan Sahabat Uwais sekurang-kurangnya dapat mengubat kerinduan hati kami kepada Uwais kerana fokus kami ingin membantu golongan senasib dengannya yang mempunyai masalah jantung,” katanya.

Katanya, setiap mereka yang dibantu akan dilihat kepada kriteria termasuk kemampuan dan status pendapatan keluarga serta ada perjanjian tertentu yang perlu dipatuhi bagi melancarka­n urusan pencarian dana oleh pihak Sahabat Uwais selain mengelak penipuan.

“Keluarga juga tidak dibenarkan mencari dana sendiri dengan memuat naik akaun peribadi di laman sosial kerana ini akan menyulitka­n keadaan serta berlaku pertindiha­n kempen mencari dana yang dijalankan Sahabat Uwais.

“Jika dana terkumpul daripada orang ramai didapati berlebihan daripada kos rawatan sedia ada, kami akan gunakan lebihan wang itu untuk tujuan rawatan kes pesakit seterusnya.

“Tekad kami cuma mahu membantu ibu bapa yang ada masalah kewangan mendapatka­n dana dari awal sampai akhir sehingga anak mereka menjalani rawatan dan pembedahan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Sahabat Uwais mengumpul dana bagi mereka yang kurang bernasib baik boleh menghubung­i talian 012-4400544 atau menyumbang ke akaun Maybank Sahabat Uwais di 5521700598­28.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia