Harian Metro

Magis tak muncul

- Ferzalfie Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my

„ Hasrat skuad hoki remaja mara suku akhir disekat Belgium

Keajaiban yang dicari skuad hoki remaja negara untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja tidak menjadi kenyataan apabila tumpas 0-3 kepada Belgium dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Lucknow, India semalam.

Kekalahan itu menyaksika­n skuad bimbingan Wallace Tan hanya menduduki tempat ketiga Kumpulan B dan akan meneruskan kempen untuk perlawanan penentuan tempat kesembilan hingga ke-12 menentang Austria esok.

Dalam perlawanan semalam, skuad hoki remaja negara dihukum seawal minit ke-10 hasil jaringan padang Gregory Stockbroek­x ketika benteng pertahanan masih belum bersedia menyerap asakan lawan.

Hasrat pasukan negara untuk bangkit menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila pasukan lawan menambah gol kedua juga melalui jaringan padang melalui Quentin Van Lierde pada minit ke-33.

Selepas bersambung babak kedua, Belgium terus mengukuhka­n kedudukan apabila menambah gol ketiga menerusi gerakan pukulan sudut penalti yang disudahkan Thomas Verheijen pada minit ke-55.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Belanda membelasah Mesir 7-0 dan mereka akan mengiringi Belgium ke pusingan suku akhir.

Kemenangan Malaysia ke atas Mesir 2-0 kelmarin setidak-tidaknya membolehka­n skuad hoki remaja negara mengelak daripada menduduki tempat terakhir Kumpulan B.

Pada edisi terdahulu (2013) Malaysia berjaya mara sehingga ke separuh akhir sebelum tumpas kepada Perancis menerusi pukulan penentuan penalti dan kalah 2-7 kepada Belanda dalam penentuan ketiga/keempat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia