Harian Metro

PBB KECAM ISRAEL

- Agensi

„ Badan dunia desak Israel henti bina penempatan Yahudi selepas AS tidak veto

ketetapan untuk kecam rejim Zionis itu

Majlis Keselamata­n Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mendesak Israel menghentik­an pembinaan penempatan Yahudi di wilayah Palestin selepas Amerika Syarikat tidak menggunaka­n kuasa vetonya untuk menolak ketetapan mengutuk sekutu paling rapatnya di Asia Barat itu.

Dalam langkah yang tidak pernah berlaku, Amerika Syarikat mengambil pendirian berkecuali ketika pengundian dijalankan, membolehka­n ketetapan pertama PBB diluluskan bagi mengecam Israel berhubung dasar pembinaan penempatan­nya sejak 1979.

Perwakilan yang menghadiri sidang itu semalam bertepuk tangan apabila ketetapan itu diluluskan dengan sokongan 14 darpada 15 negara anggota majlis.

Keputusan bersejarah oleh Majlis itu tercapai walaupun ada usaha yang diketuai Israel dan disokong oleh bakal presiden baru Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghalang­nya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta-merta menolak ketetapan itu dan menyelar Presiden Barack Obama kerana enggan menggunaka­n kuasa veto untuk menolaknya.

Pemimpin Zionis itu juga menuduh anggota majlis keselamata­n bukan sahaja gagal melindungi Israel, malah mendakwa mereka turut bersekongk­ol di belakang tabir.

“Israel menanti masa untuk bekerjasam­a dengan Presiden Trump dan semua rakan kami di Kongres, baik Republikan dan Demokrat, untuk menangani kesan ketetapan mengarut itu,” kata Netanyahu.

Trump pula berjanji akan melakukan perubahan pada badan dunia itu apabila dia menjadi Presiden AS bermula 20 Januari depan.

“Mengenai PBB, keadaan akan berbeza selepas 20 Januari,” katanya dalam Twitter.

Duta Amerika Syarikat ke PBB, Samantha Power berkata, punca AS mengambil keputusan tidak menggunaka­n kuasa veto untuk menolak ketetapan itu ialah kerana bimbang terhadap peluasan penempatan Yahudi yang mengancam penyelesai­an dua negara yang dirangka untuk mewujudkan keamanan dengan menubuhkan sebuah negara Palestin di samping Israel.

“Penempatan Yahudi itu semakin memburukka­n keadaan,” katanya.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, keputusan itu memberi tamparan hebat kepada dasar Israel.

Dasar penempatan Yahudi yang dilakukan Israel dilihat sebagai penghalang utama ke arah mewujudkan keamanan kerana pembinaan dilakukan di atas tanah milik warga Palestin yang dianggap sebagai sebahagian daripada negara yang akan mereka tubuhkan pada masa depan.

PBB sebelum ini mengisytih­arkan pembinaan penempatan Yahudi itu haram tetapi pegawai badan dunia itu melaporkan, Israel semakin galak membinanya sejak beberapa bulan lalu.

Pengundian semalam diadakan atas permintaan empat negara - New Zealand, Malaysia, Senegal dan Venezuela – selepas Mesir menangguhk­an deraf ketetapan itu kerana tunduk kepada desakan Trump.

Selepas diluluskan, Israel memanggil pulang dutanya ke Senegal dan New Zealand untuk berunding. Rejim Zionis itu tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Venezuela dan Malaysia.

 ??  ??
 ??  ?? GAMBAR fail menunjukka­n penempatan Yahudi dibina di Belitar Ilit di Tebing Barat yang dijajah Israel. - Reuters
GAMBAR fail menunjukka­n penempatan Yahudi dibina di Belitar Ilit di Tebing Barat yang dijajah Israel. - Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia