Harian Metro

Ikut jejak rakan

- Amran Yahya am@hmetro.com.my

„ Wan Aisyahriza­n hembus nafas terakhir sehari selepas sahabat meninggal

Meluangkan masa bersama sepanjang cuti sempena Tahun Baru menjadi hari terakhir buat dua sahabat karib sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.

Wan Aisyahriza­n Azreen Wan Abdul Rashid, 21, dan rakannya, Syazwani Izati Kamarudin, 23, bercuti bersama di kampung Wan Aisyahriza­n sebelum terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke kampus, Isnin lalu.

Dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka itu menaiki Proton Saga FLX sebelum terbabit kemalangan di Kilometer 22, Jalan Bahau-Kemayan, berhampira­n PLKN Debana, dekat sini, menyebabka­n Syazwani Izati meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Wan Aisyahriza­n parah.

Selepas sehari pemergian rakannya, Wan Aisyahriza­n pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini, pada jam 10.15 malam kelmarin.

Menurut ibu Wan Aisyahriza­n, Che Kamareha Che Kar, 57, dua sahabat itu pulang ke rumahnya di Bandar Jengka, Pahang, kerana bercuti sempena Tahun Baru.

“Pada mulanya saya menghalang arwah untuk pulang kerana bimbangkan keselamata­nnya memandu seorang diri.

“Namun, dia merayu juga untuk pulang kerana teringin makan ikan patin.

“Sebab itu saya benarkan tetapi perlu berteman. Arwah mengajak Syazwani untuk menemaniny­a pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTAN di sini, semalam.

Che Kamareha berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu sangat akrab dengan Syazwani Izati sejak mula menuntut di UiTM walaupun mereka berlainan jurusan.

Katanya, arwah anaknya itu menuntut di tahun dua Diploma Seni Grafik manakala arwah Syazwani Izati menuntut di tahun akhir Diploma Perakaunan.

Dalam kejadian jam 6.10 petang itu, kereta dipandu Wan Aisyarizan dipercayai hilang kawalan dan merempuh tiang elektrik sebelum terjunam ke dalam parit menyebabka­n Syazwani Izati meninggal dunia akibat lemas.

Che Kamareha berkata, dia ada menghantar pesanan menerusi WhatsApp bertanya sama ada anaknya sudah sampai di UiTM atau belum tetapi tiada jawapan sehinggala­h dikejutkan dengan panggilan telefon daripada anggota polis, jam 7 malam.

Menurutnya, dia bergegas ke Hospital Jempol sejurus menerima panggilan dan diberitahu Syazwani Izati sudah meninggal dunia manakala anaknya parah dan terpaksa dipindahka­n ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAN untuk rawatan lanjut.

Jenazah Wan Aisyahriza­n dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Bandar Pusat Jengka selepas solat Asar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia