Harian Metro

32 kaki judi ‘ziarah’ mahkamah

-

Seremban: Kamar bicara Mahkamah Majistret di sini, semalam, sesak apabila 32 individu dihadapkan atas pertuduhan menjadikan premis sebagai tempat judi, bermain judi dan tinggal lebih masa.

Sepanjang proses pendakwaan itu, tempat duduk di dalam mahkamah juga penuh dengan kehadiran ahli keluarga dan rakan tertuduh sehingga ada antaranya terpaksa berdiri.

Dalam prosiding itu, 28 individu terdiri daripada 19 lelaki tempatan dan sembilan wanita warga Vietnam berusia antara 15 hingga 45 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan bermain judi di sebuah pusat karaoke di Taman AST, di sini, pada jam 1.15 petang, 30 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntu­kkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Rahimah Rahim membenarka­n semua tertuduh diikat jamin RM1,500 setiap seorang sementara mendapatka­n fakta kes dan menetapkan 10 Januari ini untuk hukuman.

Selain itu, dua pemilik premis iaitu Woon Kai Xuan, 29, dan Liew Fat Yoong, 42, dituduh menggunaka­n premis berkenaan sebagai tempat perjudian terbuka manakala rakan mereka Lim Kok Leong, 49, dituduh bersubahat melakukan kegiatan itu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman antara RM5,000 hingga RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiganya mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu namun mahkamah membenarka­n ikat jamin RM1,500 setiap seorang sementara sebutan semula kes yang ditetapkan pada tarikh sama.

Dalam pada itu, dua wanita Vietnam iaitu Phan Thu Trinh, 24, dan Tran Thi My Van, 27, mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di negara ini.

Seorang lagi wanita Vietnam Nguyen Thi Ngoc Hoang, 40, pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki permit, pas dan dokumen perjalanan palsu mengikut Seksyen 56(1)(l) akta sama.

Bagi kes itu, mahkamah tidak membenarka­n tertuduh diikat jamin dan sebutan semula pada 6 Februari depan.

Pendakwaan kes dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Sara Afiqah Zulkipli manakala semua tertuduh diwakili Paul Krishnaraj­a.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia