Harian Metro

Murid baru melimpah

- Fairul Asmaini Mohd Pilus asmaini@hmetro.com.my

„ Beberapa sekolah di Lembah Klang terpaksa tambah kelas tampung tahun satu

Jumlah pendaftara­n murid tahun satu untuk sesi persekolah­an baru tahun ini semakin meningkat menyebabka­n ada sekolah di Lembah Klang perlu menyediaka­n sehingga 10 kelas bagi menampung pertambaha­n berkenaan.

Di Putrajaya contohnya, seramai 3,538 murid tahun satu mendaftar pada sesi persekolah­an kali ini, iaitu meningkat berbanding 2,961 pada tahun lalu.

Ia menyebabka­n beberapa sekolah terpaksa menyediaka­n tambahan kelas bagi menampung jumlah murid tahun satu untuk sesi persekolah­an kali ini.

Pengarah Pendidikan Putrajaya, Roaini Jaafar dalam kenyataann­ya sebelum ini berkata, disebabkan peningkata­n jumlah murid, pihaknya terpaksa mewujudkan 22 kelas tambahan di 14 sekolah rendah di Pusat Pentadbira­n Kerajaan Persekutua­n itu.

“Ia menjadikan keseluruha­n 101 bilik darjah berbanding pada tahun lalu iaitu hanya 79 bilik darjah.

“Selain itu, 80 guru juga ditambah di Putrajaya dan setakat ini, 50 guru sudah ditempatka­n di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan, setiap sekolah di Kuala Lumpur secara purata menerima lebih 300 permohonan kemasukan murid tahun satu namun tidak semua yang diterima.

Jurucakap Kementeria­n Pendidikan berkata, terdapat 10 sekolah di ibu negara yang terpaksa menambah bilangan kelas bagi menampung pertambaha­n jumlah pelajar.

Namun, kelas yang ditambah tidak terlalu banyak iaitu antara satu atau dua sahaja bagi memastikan guru dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada sesi pembelajar­an.

Dalam pada itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Melati, Mohd Haron Sadli berkata, sekolahnya kini mempunyai 1,032 pelajar keseluruha­nnya dan jumlah murid tahun satu adalah seramai 171 sahaja.

Kata Mohd Haron, meskipun pihaknya menerima sebanyak 222 permohonan untuk kemasukan ke tahun satu namun tidak semua dapat diterima kerana ketiadaan kelas yang mencukupi.

“Kita hanya mempunyai lima kelas untuk darjah satu dan terpaksa menolak puluhan permohonan kerana ketiadaan tempat selain mengelakka­n murid terlalu ramai.

“Namun, kita jangkakan akan menerima beberapa lagi pelajar selepas tempoh rayuan pada 15 Januari nanti,” katanya.

Sementara itu, Zarina Nun, 47, berkata, memadai jika mempunyai sekitar 40 orang murid dalam sesebuah kelas bagi mengelakka­n ia terlalu sesak hingga mengganggu sesi pembelajar­an.

“Saya percaya, jika terlalu ramai murid di dalam kelas, guru pun sukar untuk memberi tumpuan kepada sesi pengajaran,” katanya ketika ditemui.

 ??  ?? ANTARA kelas murid tahun satu di SK Taman Melati.
ANTARA kelas murid tahun satu di SK Taman Melati.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia