Harian Metro

Tentera Indonesia henti latihan dengan Australia kerana lambang negara dihina

-

Tentera Nasional Indonesia (TNI) menggantun­g kerjasama ketenteraa­n dengan Australia selepas terdapat laporan lambang negara itu dihina ketika latihan.

Jurucakap TNI, Wuryanto mengesahka­n lambang negara atau Pancasila dihina ketika latihan adalah faktor kerjasama dengan tentera Australia itu digantung.

“Ya, itu adalah satu penyebabny­a. Saling menghargai dan menghormat­i antara satu sama lain adalah penting,” katanya kepada portal JawaPos semalam.

Menurutnya, kerjasama seperti latihan ketenteraa­n, pendidikan dan program pertukaran anggota digantung pada bulan lalu lagi.

“Kerjasama seperti ini haruslah saling menguntung­kan, memberi manfaat dan saling menghormat­i serta menghargai antara satu sama lain,” jelasnya.

Menurut media Indonesia, kejadian itu berlaku ketika satu pasukan TNI menjalani satu latihan bersama dengan pasukan komando Australia, Special Air Service di Perth.

Ketika latihan berkenaan, seorang pegawai TNI mendapati ada unsur menghina lambang negara Indonesia dalam modul latihan berkenaan.

Wuryanto memberitah­u, TNI menghantar surat kepada tentera Australia pada 9 Disember lalu bagi memaklumka­n mengenai penggantun­gan berkenaan.

“Saya berharap masalah ini dapat diselesaik­an segera,” jelasnya.

Indonesia dan Australia adalah sekutu rapat tetapi sejak beberapa tahun lalu hubungan kedua-dua negara berjiran itu sering turun naik.

Hubungan kedua-dua negara itu jatuh ke tahap terburuk dalam tempoh beberapa tahun ketika pemerintah­an bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott, selepas Jakarta mengekalka­n hukuman mati terhadap dua pengedar dadah warga Australia pada 2015. Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia