Harian Metro

Dijel 6 bulan tipu Pengarah KLRCA

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini semalam, menjatuhka­n hukuman penjara enam bulan dan denda RM20,000 terhadap seorang bekas penimbang tara bertauliah warga Britain, Yusof Holmes Abdullah, 73, atas tuduhan menipu Pengarah Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA), tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulka­n keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintah­kan Yusof Holmes yang memiliki status penduduk tetap Malaysia itu menjalani hukuman penjara bermula semalam serta penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Yusof Holmes didakwa menipu Pengarah KLRCA bahawa ‘Statement of Independen­ce’ bertarikh 18 Januari 2010 yang ditandatan­ganinya adalah benar sehingga mendorong mangsa melantikny­a sebagai penimbang tara dalam pertikaian antara JMT Constructi­on Sdn Bhd dengan Nanjing Changjiang Waterway Engineerin­g Bureau di KLRCA pada 25 Januari 2010.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Cheow Wee yang mewakili Yusof Holmes memohon hukuman denda atas alasan usia anak guamnya yang sudah lanjut selain menghidap beberapa penyakit termasuk diabetes.

“Ini adalah kesalahan pertama anak guam saya dan dia juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau serta disebabkan sabitan ini, kariernya sebagai penimbang tara turut musnah,” katanya.

Dalam prosiding berkenaan, mahkamah membenarka­n penangguha­n pelaksanaa­n kedua-dua hukuman itu sementara menunggu keputusan rayuan selain menaikkan jumlah wang jaminan kepada RM40,000 dengan seorang penjamin.

Seramai 11 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan memberikan keterangan di mahkamah sepanjang perbicaraa­n kes ini.

 ??  ?? YUSOF Holmes
YUSOF Holmes

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia