Harian Metro

Ayat manis ‘ejen bertauliah’

- Yusmizal Dolah Aling yusmizal@hmetro.com.my

„ Dua mangsa tanggung kerugian diperdaya individu licik janji bantu dapatkan pinjaman koperasi

Mendakwa mereka adalah ejen bertauliah dilantik untuk menguruska­n pinjaman koperasi, seorang wanita dan rakannya dikesan licik memperdaya mangsa untuk mendapatka­n wang mudah dengan meminta deposit sebelum menghilang­kan diri.

Dalam kes minggu lalu, dua mangsa berusia 28 dan 36 tahun itu kini bingung memikirkan kerugian yang terpaksa ditanggung kerana percayakan kata-kata manis ‘ejen’ berkenaan yang berjanji membantu mendapatka­n pinjaman daripada sebuah koperasi di ibu negara.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Raihan, 36, berkata, dia mengalami masalah kewangan sejak beberapa bulan lalu dan diperkenal­kan kepada wanita terbabit oleh seorang kenalan, hujung tahun lalu.

Katanya, selepas berhubung menerusi telefon, individu berkenaan bersetuju membantuny­a mendapatka­n kelulusan segera untuk membuat pinjaman berjumlah RM50,000 menerusi institusi kewangan serta koperasi dan sebagai komitmen, dia diminta memasukkan sejumlah RM3,000 sebagai duit proses.

“Saya yang ketika itu terdesak, terus memasukkan duit seperti diminta. Wang itu kononnya sebagai deposit untuk proses permohonan di koperasi dan institusi kewangan. Selepas itu, saya diperkenal­kan pula kepada seorang lelaki yang mendakwa orang tengah untuk permohonan pembiayaan daripada institusi kewangan. Dia juga meminta wang antara RM3,000 hingga RM11,000 beberapa kali.

“Tidak lama selepas itu saya gagal menghubung­inya apabila nombor telefonnya tiada dalam perkhidmat­an. Sudahnya daripada berangan mendapatka­n pinjaman secara mengikut prosedur, saya terpaksa meminjam along dengan jumlah tuntutan terbaru mencecah RM100,000,” katanya ketika membuat aduan kepada sekretaria­t Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) semalam.

Seorang lagi mangsa, Fazrul, 28, berkata, dia mula mengenali wanita terbabit selepas berurusan mengenai pembelian barangan secara atas talian dan tidak lama kemudian, mereka berbincang mengenai hasratnya untuk mengembang­kan perniagaan.

Katanya, wanita terbabit terus menawarkan pinjaman sama melalui koperasi atau bank berjumlah RM200,000 termasuk memohon pembiayaan berjumlah RM11,800 daripada sebuah bank yang diluluskan dalam tempoh 24 jam.

“Selepas pinjaman segera itu diluluskan, wanita terbabit meminta saya memasukkan 45 peratus daripada pinjaman berjumlah RM5,310 ke dalam akaun milik seorang lelaki selain menawarkan pinjaman RM200,000 dengan deposit sebanyak RM6,490. Akibat mahukan wang, saya bersetuju. Sehari selepas itu, wanita dan lelaki terbabit terus gagal dihubungi,” katanya.

Fazrul berkata, dia kini terpaksa menanggung ansuran bulanan RM310 untuk tempoh lima tahun bagi pinjaman itu dan buntu untuk mendapatka­n semula wang yang ‘dilesapkan’ kedua-dua individu itu.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya akan mengumpul maklumat berkaitan sebelum merujuk kes berkenaan kepada polis dan Bank Negara untuk tindakan lanjut.

“Dalam tempoh seminggu kita terima dua kes membabitka­n suspek sama dan kita percaya ramai lagi yang menjadi mangsa mereka. Setakat ini, modus operandi yang kita kenal pasti ialah mereka menipu kononnya untuk berurus niaga secara dalam talian sebelum menawarkan pinjaman yang tidak wujud.

“Cuma kita juga hairan bagaimana institusi kewangan boleh bersekongk­ol meluluskan pinjaman menggunaka­n pihak ketiga. Perkara ini kita akan rujuk kepada Bank Negara untuk memastikan tiada pengguna tertipu dengan cara licik sebegini,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia