Harian Metro

Masih boleh dipakai

- Mohamad Yatim Latip am@hmetro.com.my

„ C2 Bandle jual pakaian budak terpakai dengan harga mampu milik

Berbeza dengan premis menjual pakaian terpakai lain, C2 Bundle Kanak-Kanak terletak berhampira­n persimpang­an lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Semabok, diusahakan Mashadi Abdul Gapar, 37, hanya menawarkan pakaian khas bagi si cilik saja.

Mashadi yang sebelum ini mengusahak­an gerai menjual minuman, mengambil keputusan membuka perniagaan itu kerana menyedari permintaan terhadap pakaian terpakai untuk kanak-kanak kini semakin meningkat.

Katanya, C2 Bundle Kanak-Kanak, menawarkan pelbagai jenis baju dan seluar sesuai untuk bayi baru lahir sehingga kanak-kanak berusia 12 tahun.

Walaupun dikategori­kan sebagai terpakai, namun pakaian dijual masih dalam keadaan elok, membabitka­n pelbagai jenama terkemuka untuk kanak-kanak diimport dari Amerika Syarikat, Australia dan Jepun.

Antara jenama pakaian dijual di C2 Bundle Kanak-Kanak adalah Polo, Levi’s, Lee, Bonds, Target, Clark, Converse, Gap, Adidas dan Marvel.

“Boleh dikatakan belum ada kedai lain yang hanya sediakan pakaian untuk kanak-kanak saja, jadi saya yakin perniagaan ini mempunyai masa depan cerah serta mampu memberikan pulangan berbaloi.

“Ibu bapa perlu beli baju untuk anak masing-masing dalam jumlah banyak yang perlu kerap diganti dalam tempoh singkat berikutan tubuh kanak-kanak cepat membesar, jadi saya secara tidak langsung membantu mereka berjimat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain kasut, C2 Bundle Kanak-Kanak turut menawarkan kasut berjenama masih dalam keadaan elok yang sesuai untuk bayi dan kanak-kanak dijual pada harga bermula RM1 hingga paling mahal cuma RM60.

Dia turut memberi jaminan pelanggan akan berpuas hati kerana semua pakaian dijual di premisnya adalah daripada gred A.

“Syukur Alhamdulil­lah, setiap hari ada pelanggan singgah ke kedai saya, sambutan lebih menggalakk­an sepanjang musim cuti persekolah­an lalu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia