Harian Metro

Tak sangka rumah ranap dek banjir

-

Lapan beranak di Kampung Merabang, di sini, tidak menyangka banjir sejak Sabtu lalu meranapkan bahagian hadapan rumah mereka.

Keadaan itu di luar jangkaan berikutan ketika banjir teruk pada 2014, tiada kemusnahan berlaku pada rumah mereka.

Che Yam Abd Rahman, 56, berkata, dia terkejut melihat bumbung di hadapan rumah runtuh akibat tiang patah dirempuh arus ketika pulang ke rumah, semalam.

“Tak sangka betul saya kerana bencana pada 2014 pun keadaan tidak seperti itu. Memang air mula naik empat hari lalu membawa bersama arus deras.

“Saya fikir banjir itu paling teruk yang saya hadapi,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Che Yam berkata, dia bersama anak, Mohd Fauzi Riduan, 34, menantu dan cucunya berjalan kaki mengharung­i banjir 50 meter untuk ke jalan utama sebelum dibawa pasukan penyelamat ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Dewan Besar, di sini.

Seorang lagi mangsa banjir, Zainab Mahmood, 70, berkata, pada mulanya dia menyangka banjir biasa berlaku namun terkejut apabila air masuk ke dalam rumah hampir satu meter.

“Ketika itu, saya tinggal seorang diri dan anak pula kerja. Apabila air naik, saya takut sebelum telefon anak suruh pulang. Adik yang tinggal berdekatan datang tolong mengangkat barang.

“Selalunya air naik di pekarangan rumah sahaja, tetapi kali ini naik lebih tinggi,” katanya.

Jumlah mangsa banjir di PPS di Machang semakin menurun semalam apabila banjir di kawasan rendah mula surut dan penduduk dibenarkan pulang secara berperingk­at.

 ??  ?? ZAINAB membersihk­an rumahnya selepas air surut di Kampung Merabang.
ZAINAB membersihk­an rumahnya selepas air surut di Kampung Merabang.
 ??  ?? MOHD Fauzi melihat keadaan bumbung rumahnya yang ranap selepas dilanda banjir di Kampung Merabang.
MOHD Fauzi melihat keadaan bumbung rumahnya yang ranap selepas dilanda banjir di Kampung Merabang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia