Harian Metro

BIMBANG TRAUMA

-

„ Pesakit, petugas terbabit kebakaran HBUK diberi kaunseling

Semua pesakit dan petugas yang terbabit dalam kejadian kebakaran Wad 11 Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan, di sini kelmarin akan diberi kaunseling oleh pasukan Bantuan Kecemasan Psikologi Sosial (PSFA) bagi memastikan mereka tidak trauma.

Pengarah HBUK, Dr Norhayati Nordin berkata, walaupun kebakaran itu tidak membabitka­n kecederaan atau kemalangan jiwa, pihaknya bimbang semua yang terbabit alami trauma terutama 21 pesakit di wad berkenaan.

Menurutnya, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan petugas yang terbabit dalam kejadian itu pagi semalam, manakala perjumpaan dengan pesakit pula akan diadakan dalam masa terdekat.

“Pasukan yang terdiri daripada dua kaunselor, seorang pakar psikologi klinikal dan 10 pakar psikiatri akan berjumpa dengan pesakit yang terbabit dalam kejadian itu dan ia bukan hanya membabitka­n 21 pesakit lelaki di wad berkenaan tetapi juga pesakit lain di semua enam wad berhampira­n yang mungkin melihat kejadian itu.

“Syabas diucapkan kepada petugas HBUK terutama pasukan kecemasan yang bertindak pantas menyelamat­kan pesakit serta mengawal kebakaran daripada menjadi lebih buruk,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Pengangkut­an Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, semalam.

Dr Norhayati berkata, pihaknya turut bercadang memantapka­n lagi pasukan kecemasan dengan menambah keahlian yang ketika ini hanya disertai 23 petugas saja kepada sekurang-kurangnya seorang petugas kecemasan di setiap wad yang keseluruha­nnya mempunyai 78 wad dengan 1,800 katil pesakit.

“Peralatan kecemasan juga akan ditambah baik untuk memastikan keselamata­n pesakit yang kini jumlahnya 1,500 yang dirawat di hospital ini,” katanya.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari kelmarin, sebuah stor menyimpan barangan yang dalam proses pelupusan di Wad 11 HBUK terbakar sebelum api merebak ke bumbung wad berkenaan.

Sementara itu, Dr Mah berkata, kebakaran berlaku di satu ruang berhampira­n dewan makan wad berkenaan yang digunakan untuk menyimpan tilam, katil dan almari yang dalam proses pelupusan.

“Wad berkenaan adalah wad terbuka menempatka­n 21 pesakit lelaki yang keadaan kesihatan mereka sudah stabil dan dalam proses pemulihan.

“Petugas hospital bertindak mengikut prosedur dalam menangani insiden dengan memindahka­n kesemua pesakit ke lokasi selamat dan mengawal kebakaran menggunaka­n alat pemadam api sebelum pasukan kecemasan membantu menggunaka­n saluran air dari pili bomba berhampira­n,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia