Harian Metro

Piala FA keutamaan Arsenal

-

Preston, United Kingdom: Arsene Wenger memberitah­u bahawa Piala FA tetap menjadi keutamaan buat Arsenal biarpun melancarka­n serampang dua mata untuk kempen Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Piala FA membawa tuah buat Gunners sejak beberapa tahun kebelakang­an dan skuad Wenger berkunjung ke laman kelab Kejuaraan Preston awal pagi esok dengan misi menjulang trofi ketiga dalam tempoh empat tahun.

Kejayaan 2014 mengakhiri penantian sembilan tahun Arsenal untuk menjulang kejuaraan dan kejayaan sama setahun selepas itu membayangk­an skuad Arsenal memiliki mentaliti kemenangan.

Bagaimanap­un kegagalan mencabar Leicester musim lalu untuk merebut trofi Liga Perdana dan kedudukan ketika ini di tangga kelima, lapan mata di belakang pendahulu Chelsea bermakna skuad London utara itu perlu bekerja lebih keras jika mahu bergelar juara liga selepas kali terakhir berbuat demikian pada 2004.

Wenger sedar beliau perlu sekurang-kurangnya menempatka­n pasukannya untuk saingan Liga Juara-Juara musim depan tetapi itu tidak bermakna beliau akan memandang Piala FA dan jadual padat sebagai satu gangguan.

“Ia keutamaan buat kami,” kata Wenger.

“Sejarah membuktika­n betapa kami mengambil berat mengenai perkara itu dan ia pertanding­an hebat untuk semua.

“Memenangi Piala FA sentiasa menjadi sasaran kami setiap tahun. Kami sedar bahawa selepas jadual padat Krismas, perlawanan pusingan ketiga pastinya mencabar.

“Itulah sebabnya saya percaya bahawa ia adalah cabaran mental buat pasukan Liga Perdana untuk membuat persiapan rapi dan tidak mengalami kejutan teruk, terutama apabila anda menentang pasukan Kejuaraan, ia memang sentiasa sukar.” -AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia