Harian Metro

Gomez mahu anak buah pupuk persefaham­an

- Rizar Mohd Noor sukan@hmetro.com.my

Johor Bahru: Bukan jaringan menjadi ukuran sebaliknya pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez mahu melihat persefaham­an antara setiap pemain dengan taktikal baharu yang diterapkan mampu mewujudkan kombinasi mantap.

Pada aksi persahabat­an, Johor DT membelasah kelab Liga Singapura (Liga S), Geylang Internatio­nal FC 5-0 di Pusat Latihan Padang Seri Gelam, kelmarin dan gol yang dihasilkan menerusi pemain import baharu Brian Fereirra, Ahmad Hazwan Bakri, Azamudddin Akil, Muhd Fazly Mazlan dan Darren Lok.

Bagi pengendali dari Argentina itu, beliau menyifatka­n gol yang dihasilkan membuktika­n betapa wujud persefaham­an dan kombinasi mantap dan ia beri petanda positif setiap pemain tampak mula memahami corak taktikal.

Gomez juga berpuas hati dengan kelibat dua pemain muda, Safawi Rashid dan penjaga gol Muhammad Haziq Nadli yang menunjukka­n permainan konsisten.

“Kedua-dua pemain itu berusia 19 tahun dan mereka menunjukka­n kematangan apabila beraksi pada perlawanan persahabat­an dan tidak kekok untuk bersama dengan rakan sepasukan yang lebih berpengala­man. Safawi beraksi di sayap kiri malah kerap bertindak menggugat benteng pertahanan Geylang Internatio­nal FC dan kombinasi yang baik bersama Muhd Fazly Mazlan apabila mereka sering saling membantu.

“Muhammad Haziq mengemudi gawang dengan baik dan saya lihat perkembang­an positif buat penjaga gol muda itu yang beraksi cemerlang selepas menidakkan tiga percubaan berbahaya lawan,” katanya.

Gomez menegaskan persiapan skuad Harimau Selatan tampak semakin menghampir­i 100 peratus dan tahap kecergasan pemain juga cukup memuaskan selepas latihan keras diadakan sepanjang lebih dua minggu yang menumpukan kepada fizikal dan mental setiap pemain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia