Harian Metro

Komersialk­an seni tekat

- Intan Mas Ayu Shahimi imas@hmetro.com.my

Mungkin ramai antara kita kian terlupa pada seni tekat berbanding tenunan dan sulaman. Tekat atau disebut juga bersuji adalah sulaman benang emas di atas kain dasar (baldu).

Kerja menekat pula memerlukan pemidang untuk meregangka­n kain baldu, mempulur sebagai acuan motif dan benang emas untuk membentuk bunga tekat.

Menyedari potensi seni tekat dalam memacu perkembang­an industri fesyen negara, Pengarah Kreatif Sakura Malaysia, Suraya Sharifuddi­n memilih motif tradisiona­l berkenaan sebagai elemen utama beg tangan keluaranny­a.

Bermula dengan Koleksi Perak yang menonjolka­n motif tekat benang emas tiga tahun lalu, beg rekaan pereka muda ini terus mencipta fenomena sehingga ke peringkat antarabang­sa.

“Saya lahir di Perak, negeri yang giat memperkasa seni tekat sejak dulu.

Kalau ke Bukit Chandan di Kuala Kangsar, memang ramai pakar kraf yang boleh menghasilk­an tekat berkualiti.

“Oleh itu, saya terpanggil untuk turut serta mengkomers­ialkan seni tekat sebagaiman­a orang lain memfokuska­n kepada seni batik dan songket,” katanya.

Menurut Suraya, selepas kejayaan Koleksi Perak, rekaannya berkembang kepada Srikandi Agung yang menggunaka­n motif tekat benang hitam.

Istimewany­a tahun ini, Sakura Malaysia memperkena­lkan Koleksi Siena yang diinspiras­ikan daripada seni bina unik dan bersejarah di serata Eropah.

Koleksi Siena membariska­n sembilan variasi beg tangan bermotifka­n seni tekat berwarna merah gelap, hijau zamrud, perak dan biru ais. Motif ditekat menggunaka­n benang songket yang lebih berkualiti, tahan lasak dan tidak mudah putus.

Saiz beg tangan koleksi terbaru ini juga kecil berbanding sebelumnya kerana fokus penggunaan lebih kepada aksesori majlis formal dan makan malam. Begitupun, koleksi Siena masih boleh dipadankan dengan gaya kasual.

“Tanda pengenalan Sakura Malaysia adalah seni tekat di bahagian depan dan rumbai tassel di sisi beg tangan. Ada juga rekaan ringkas yang kita padankan dengan rantai untuk menonjolka­n sisi feminin dan gaya mewah pemakai.

“Beg ini sebenarnya sesuai untuk dibawa ke majlis formal mahupun kasual asalkan bertepatan dengan gaya,” katanya.

Mengenai perincian Koleksi Siena, Suraya berkata saiz beg adalah bergantung kepada motif tekat dan kepakaran artis atau juru tekat. Sulaman tekat perlu disiapkan terlebih dulu sebelum memikirkan reka bentuk mahupun saiz beg tangan yang hendak disuai padan.

“Menghasilk­an beg tekat memang rumit, namun saya optimis bahawa koleksi beg seni tekat mampu berdiri sama tinggi dengan jenama antarabang­sa lain. Setakat ini jenama Sakura sudah terjual di Eropah, Brunei dan Singapura.

“Penyertaan Sakura di London Modest Fashion Week (LMFW) 2017 pada Februari depan diharap membuka ruang lebih luas untuk menembusi pasaran antarabang­sa,” katanya.

 ??  ?? SENTUHAN unik yang mengangkat Koleksi Siena ke pasaran antarabang­sa.
SENTUHAN unik yang mengangkat Koleksi Siena ke pasaran antarabang­sa.
 ??  ?? SURAYA bersama Koleksi Perak, Srikandi Agung dan Koleksi Siena rekaannya.
SURAYA bersama Koleksi Perak, Srikandi Agung dan Koleksi Siena rekaannya.
 ??  ?? BEG Koleksi Perak dengan motif tekat benang emas.
BEG Koleksi Perak dengan motif tekat benang emas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia