Harian Metro

Sekali lagi dituduh curi susu RM589

-

Petaling Jaya: Dua rakan yang sedang menjalani hukuman penjara 12 bulan atas kesalahan mencuri pelbagai jenama susu formula, sekali lagi dituduh di Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan sama.

Kedua-dua tertuduh Satria Sisa, 42, penjual ikan dan Kasmah Ibrahim, 33, yang tidak bekerja itu kemudian mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah sekali gus dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan.

Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah memerintah­kan mereka menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu pada 26 September tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencuri 10 kotak susu formula bayi jenama Dumex bernilai keseluruha­n RM589 milik Pasaraya 99 Speedmart.

Mereka yang berasal dari Sabah didakwa melakukan kesalahan berkenaan di premis itu di Jalan SS3/28, Sungei Way, di sini pada jam 7.20 malam, 1 Mac 2016.

Masing-masing didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan hukuman penjara bagi kesalahan kali kedua dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman setimpal mengambil kira faktor kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan berulang.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan atas alasan mereka sedang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan sama.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga pekerja di pasar raya itu tiba-tiba didatangi dua lelaki dan seorang wanita di kaunter pembayaran.

Ketika itu, salah seorang lelaki daripada kumpulan itu mengambil roti dan terus ke kaunter bayaran dan pada masa sama, Satria mengambil 10 kotak susu itu dan meletakkan di kaunter pembayaran.

Bagaimanap­un, mereka hanya membayar harga roti tetapi turut membawa semua kotak susu keluar tanpa membuat sebarang pembayaran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia