Harian Metro

Beli di pangkalan lebih murah

-

Alor Gajah: “Harga ikan melambung macam tidak masuk akal sejak dua minggu lalu. Berikutan itu, saya tidak lagi beli ikan di pasar sebaliknya dapatkan bekalan terus daripada nelayan di pantai.

“Saya rela tunggu nelayan pulang dari laut untuk dapatkan bekalan ikan pada harga murah walaupun hanya anak ikan,” kata warga emas, Adnan Budin, 90.

Pesara kerajaan itu yang lebih dikenali dengan panggilan Haji Nan dalam kalangan penduduk Kampung Permatang Darat, Kuala Sungai Baru, di sini, berkata, dia tidak lagi membeli ikan di pasar selepas harganya naik antara 50 dan 60 peratus.

Sebaliknya, dia lebih selesa menunggu nelayan berpangkal­an di Kampung Pantai kira-kira dua kilometer (km) dari rumahnya kerana harga ikan dijual murah selain lebih segar.

“Harga anak gelama dijual nelayan RM4 satu kilogram (kg), jauh lebih murah berbanding kembung hitam atau kembung belading di pasar yang mencecah RM12 dan RM17 satu kg.

“Itu belum lagi ikan gred A seperti kurau, merah, jenahak dan bawal cepak yang semuanya berharga lebih RM30 satu kg,” katanya ketika ditemui membeli ikan daripada nelayan separuh masa, Mohd Fazli Muslim, 33, di Kampung Pantai, di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd Fazli berkata, sejak harga ikan melambung, dia tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang meningkat setiap hari.

“Pembeli bukan hanya orang kampung, tetapi turut membabitka­n penduduk dari pekan Masjid Tanah yang sanggup datang ke sini semata-mata mendapatka­n ikan dan ketam pada harga lebih murah.

“Sejak harga melambung, paling tinggi sehari saya jual sehingga 10 kg ikan dan lima kilogram ketam namun hasil tangkapan tidak menentu kerana dipengaruh­i faktor arus laut dan tiupan angin,” katanya.

 ??  ?? ADNAN (kiri) membayar ikan yang dibelinya daripada Mohd Fazli di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru.
ADNAN (kiri) membayar ikan yang dibelinya daripada Mohd Fazli di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia