Harian Metro

Kain pelekat bapa ‘penawar’ tangisan bayi

-

Alor Setar: “Malam tadi bayi saya menangis tak henti hinggakan saya tak tahu nak buat apa sebelum minta ahli keluarga pulang membawa kain pelekat suami yang belum dibasuh di rumah kami tidak jauh dari sini.

“Saya melapik kain itu di atas bayi ini dan dia terus tidur dan tidak menangis lagi. Mungkin dia tahu bapanya sudah tiada,” kata Hamidah Zakaria.

Hamidah, 26, walaupun reda suaminya Shukri Abd Rashid, 30, sudah tiada namun dia berharap operasi pencarian itu berakhir segera dan jasad suaminya ditemui.

Dia yang sehari berpantang selepas melahirkan bayi lelaki ketiganya kelmarin berkata, dia kuatkan hati walaupun suaminya tiada di sisi sewaktu melahirkan anak ketiganya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) malam kelmarin.

Hamidah melahirkan bayi yang belum diberi nama itu dengan bantuan anggota Jentera Perkhidmat­an Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, di sini.

Katanya, dua anaknya, Muhammad Shakir Hafuza, 7, dan Muhammad Shaifullah Hafiz, 3, sering rindukan bapa mereka kerana biasanya jika tidak ke laut suaminya membawa mereka bersiar-siar setiap petang.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan ini ujian saya untuk membesarka­n anak sendirian namun saya tak fikir lagi untuk mencari kerja selepas ini kerana apa yang penting suami ditemui segera,” katanya ketika ditemui di rumah rakannya di sini semalam.

Hamidah menumpang di rumah rakannya untuk berpantang sementara operasi pencarian suaminya dilakukan pasukan penyelamat.

Kawasan pencarian nelayan yang masih hilang itu diteruskan hingga 10 batu nautika hampir ke Pulau Payar, Langkawi semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin yang ditemui Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di jeti Kuala Kedah berkata, operasi hari ini diperluask­an dari kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.

Dalam kejadian Ahad lalu, Shukri dikatakan terjatuh ketika mencandat sotong di perairan Kuala Kedah sekitar jam 4 pagi.

 ??  ?? NELAYAN menarik bot yang ditemui di perairan Kuala Kedah dipercayai milik Shukri yang hilang di laut.
NELAYAN menarik bot yang ditemui di perairan Kuala Kedah dipercayai milik Shukri yang hilang di laut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia