Harian Metro

46 peluru kapur hiasan rumah

-

Kota Bharu: Seorang pegawai kerajaan memberi alasan menyimpan 46 peluru kapur dan tiga peluru yang sudah diserpih sebagai aksesori hiasan di rumahnya di Kampung Lemal, Pasir Mas.

Bagaimanap­un, alasan itu meragukan dan dia ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas kira-kira jam 12.30 tengah malam, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, suspek berusia 38 tahun ditahan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya.

“Pemeriksaa­n menemui 46 peluru kapur dalam satu beg sandang yang diletakkan di atas bekas plastik cerah selain tiga peluru yang sudah diserpih di dalam bilik berkenaan.

“Suspek mendakwa peluru bersaiz 5.56 milimeter yang digunakan untuk senapang jenis Colt M4 itu mahu dijadikan aksesori.

“Suspek juga mendakwa peluru itu diperoleh daripada anak saudaranya yang bekerja sebagai tentera di Pahang sejak Oktober tahun lalu dan ia hanya disimpan di rumahnya,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8A Akta Senjata 1960.

Mohd Fakri berkata, siasatan lanjut juga masih dilakukan berhubung penemuan peluru berkenaan.

“Ujian saringan dadah terhadap suspek negatif dan dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyimpan atau memiliki sebarang peluru mahupun senjata tanpa kebenaran sah.

Katanya, walaupun peluru itu jenis kapur dan hanya boleh menyebabka­n cedera namun ia tetap menjadi kesalahan kepada mereka yang menyimpann­ya.

“Kita juga akan mengambil keterangan daripada anak saudaranya untuk siasatan lanjut,” katanya.

 ??  ?? MOHAMAD Fakri (tengah) menunjukka­n peluru hidup yang dirampas di Kampung Lemal, Pasir Mas di pejabatnya di IPK Kelantan.
MOHAMAD Fakri (tengah) menunjukka­n peluru hidup yang dirampas di Kampung Lemal, Pasir Mas di pejabatnya di IPK Kelantan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia