Harian Metro

‘Pagar’ hak Orang Asli

- Mohd Sabran Md Sani sab@hmetro.com.my

Kira-kira 600 penduduk Orang Asli dari Kampung Sungai Air Tawas dan Kampung Tanah Gembur di Ledang memfailkan saman di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam bagi menuntut projek pembinaan pagar oleh kontraktor dilantik di kawasan penempatan mereka sejak November lalu dihentikan.

Dua Tok Batin masing-masing Jengkeng Jani, 69, dan Mengek Achai, 56, selaku plaintif mengemukak­an saman berkenaan melalui peguamnya, Hannan Ishak dari Tetuan Kamal Hisham & Associates di kaunter mahkamah berkenaan pada jam 9 pagi semalam.

Kedua-dua plaintif menamakan Zila Maju Enterprise selaku defendan pertama yang juga kontraktor utama bagi pembinaan pagar di pintu masuk dan parit di kawasan itu, diikuti tiga defendan lain iaitu Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Malaysia.

Berdasarka­n saman yang difailkan itu, plaintif yang mewakili penduduk di dua perkampung­an berkenaan memohon pengisytih­aran bahawa mereka mempunyai hak milik Tanah Adat Asli dan pemilik tanah didiami ketika ini.

Plaintif turut memohon satu perintah menghalang kepada mana-mana pihak daripada memasuki atau melaksanak­an sebarang kerja di tanah itu.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Mengek yang mewakili Perkampung­an Orang Asli Air Tawas mendakwa tindakan Perbadanan Taman Negara Johor membina pagar dan mengorek longkang di tanah Orang Asli sangat dikesali.

Malah dakwanya, tindakan itu mengancam kubur nenek moyang mereka, selain sukar melaksanak­an kerja mencari hasil hutan seperti dilakukan sebelum ini.

“Kami juga tidak pernah diberikan notis memaklumka­n kerja dilaksanak­an Zila Maju Enterprise pada 30 November lalu.

“Sebaliknya hanya menyedari apabila pihak berkenaan menghantar jentera berat ke kampung itu pada 14 November lalu,” katanya.

Selain dua kampung itu, turut terkesan penduduk di Kampung Sungai Mering.

Berdasarka­n kronologi, tiga kampung Orang Asli terbabit dengan projek pembanguna­n Taman Negara Ledang dan membabitka­n 784 orang penduduk.

Arahan tender projek dikeluarka­n Perbadanan taman Negara Johor dengan tujuan memagar perkampung­an dan longkang sempadan taman negara.

Kontraktor dilantik yang beralamat di Taman Bakri Mulia, Muar, Johor meletakkan jentera pada 14 November tahun lalu dan kerja dilaksanak­an pada 27 Disember tahun sama berdasarka­n notis dikeluarka­n pada 30 November.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat penduduk bertarikh 27 Disember tahun lalu sebelum kerja dihentikan pertama kali oleh penduduk kampung pada 28 Disember tahun sama, malah projek itu dihalang tiga kali dengan tarikh terakhir pada 5 Januari lalu.

Kerja pembinaan itu membabitka­n kerja memagar masuk di Kampung Sungai Mering, Kampung Tanah Gembur dengan membuat parit sempadan sejauh empat kilometer hingga ke Kampung Sungai Air Tawas Ledang seperti dikemukaka­n pemaju.

Berikutan itu Jawatankua­sa Bertindak Orang Asli Ledang mendapati ia satu projek tidak masuk akal dengan mengurung Orang Asli di dalam pagar sedangkan kehidupan bebas berkebun dan merayau di dalam hutan dilakukan sejak turun temurun.

Pembinaan parit sempadan yang besar menghalang haiwan bebas bergerak di hutan dan menghalang Orang Asli memasuki kawasan Tanah Adat, selain projek itu mengancam perkuburan nenek moyang mereka kerana kawasan parit membabitka­n lokasi itu.

„ 600 penduduk saman kontraktor projek pembinaan dakwa ganggu tanah adat

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia