Harian Metro

Noh tiada hasrat jadi Presiden FAS

- Hayati Ibrahim sukan@hmetro.com.my

Putrajaya: “Saya tidak berhasrat dan tidak akan pegang (jawatan Presiden) Persatuan Bolasepak Selangor (FAS). Saya hanya bercakap sebagai peminat bola sepak Selangor,” tegas Menteri Kesejahter­aan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubunga­n UMNO Selangor berkata, mengikut peraturan FAS, Menteri Besar diberi keutamaan untuk menerajui pasukan bola sepak itu sebagai presiden.

Katanya, seorang Menteri Besar sepatutnya turut bertanggun­gjawab terhadap pembanguna­n sukan, bukan hanya pembanguna­n negeri.

“Disebabkan itu Menteri Besar diberi keutamaan (dilantik) sebagai Presiden FAS. Tapi jika Menteri Besar asyik nak berpolitik saja FAS akan habis.

“Saya difahamkan Menteri Besar ingin memberi FAS RM20 juta kalau tak silap saya dalam bajet, beri sajalah peruntukan itu. Jangan sebab bila ada masalah politik duit tidak diberi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada berminat menerajui FAS selepas presiden yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, membuat keputusan untuk tidak lagi bersama organisasi itu.

Azmin dilaporkan berkata, beliau dan bekas pengurus Selangor Amirudin Shaari, tidak lagi bersama organisasi dan pengurusan yang tidak berwibawa serta tidak komited dengan agenda perubahan demi menjamin kegemilang­an bola sepak negeri.

Azmin turut mendakwa selepas hampir dua tahun bersama FAS, mereka tidak melihat kesediaan Exco FAS untuk mendukung perubahan.

Noh berkata, beliau tidak mahu melihat pasukan Merah Kuning atau Red Giants yang menjadi kebanggaan rakyat Selangor hancur hanya kerana presidenny­a suka berpolitik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia