Harian Metro

SUAMI ISTERI DIDAKWA TIPU RM600,000

„ Suami isteri didakwa atas dua pertuduhan mohon bicara

- Izlaily Nurul Ain Hussein izlaily@hmetro.com.my

Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam masing-masing atas dua pertuduhan memperdaya dan bersubahat berhubung pelaburan pajakan hotel di Makkah serta Madinah membabitka­n kerugian hampir RM600,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Sheikh Saidey Nor Sheikh Abdul Rahman, 44, dan isteri, Sofia Affendi, 42, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Bagi ahli perniagaan itu, dia didakwa dengan curang menipu dengan cara menawarkan pelaburan program Islamic Hotel iaitu pelaburan dalam bentuk pajakan bilik hotel di Makkah dan Madinah sehingga mangsa yang juga ahli perniagaan, Raja Farhana Raja Ali, 36, menyerahka­n cek bernilai RM314,535.

Lelaki itu turut didakwa melakukan perbuatan sama sehingga mangsa menyerahka­n wang tunai RM282,616.73 yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tahu dia diperdaya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah restoran di Bandar Baru Uda, Jalan Tampoi, di sini, antara jam 8.30 malam hingga jam 11 malam awal April 2015 lalu dan dia didakwa mengikut Seksyen 420, Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Isterinya pula didakwa mengikut Seksyen 109/420, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sama jika disabitkan kesalahan atas dua pertuduhan bersubahat dengan tertuduh untuk melakukan perbuatan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Mohd Nasir tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan tertuduh sebelum ini gagal dikesan polis selain masih dalam siasatan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Tertuduh diserahkan kembali ke Bukit Aman untuk dituduh di negeri lain untuk kes seumpama ini, namun sekiranya mahkamah menggunaka­n budi bicara untuk membenarka­n jaminan, saya cadangkan RM100,000 bagi setiap seorang tertuduh dengan syarat tambahan pasport ditahan di mahkamah,” katanya.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dibenarkan ikat jamin dengan jumlah yang dicadangka­n pendakwaan itu dikurangka­n.

Mahkamah kemudian membenarka­n setiap tertuduh diikat jamin RM90,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport antarabang­sa mereka diserahkan kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 7 Februari ini.

Difahamkan, pasangan itu mempunyai tiga anak yang mana seorang daripada mereka yang berusia 20 tahun kini ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

 ??  ??
 ?? FOTO: ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN ?? SHEIKH Saidey Nor bersama Sofia ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.
FOTO: ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN SHEIKH Saidey Nor bersama Sofia ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia