Harian Metro

Iskandar bergelut cedera pinggang

-

Kuala Lumpur: Impian pemain perseorang­an lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian tahun lalu dengan mara ke final Masters Malaysia mungkin tidak kesampaian apabila bergelut kecederaan pinggang.

Iskandar yang muncul naib juara Masters Malaysia di Pulau Pinang, tahun lalu, menjelaska­n dia belum pasti ke Sibu, Sarawak minggu depan kerana mengalami kecederaan itu ketika sesi latihan.

Bagaimanap­un, pemain kelahiran Johor itu berkata, dia masih mempunyai tempoh dua hari untuk melihat keadaannya sebelum membuat keputusan muktamad.

“Saya rasa sakit di bahagian pinggang sehingga mahu tidur pun susah. Saya ada tempoh sehingga Jumaat ini (esok) dan jika semuanya kembali seperti sedia kala, saya akan bermain. Tapi jika tidak, saya tarik diri,” katanya di Majlis Menandatan­gani Perjanjian Kerjasama Antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Astro Arena semalam.

Jelasnya, tidak ada gunanya beraksi di kejohanan berkenaan jika tidak berada pada prestasi terbaik.

“Saya akan buat pemeriksaa­n susulan dengan doktor terlebih dulu sebelum membuat keputusan,” kata Iskandar yang melakar kejutan mara ke final Masters Malaysia sebelum tumpas kepada Datuk Lee Chong Wei.

Iskandar menjadikan Masters Malaysia tahun lalu sebagai pemangkin semangat sebelum mengekalka­n aksi konsisten sepanjang 2016 untuk berada dalam kelompok 25 pemain terbaik dunia.

Dia mengakui akan berasa kecewa jika terpaksa menarik diri tetapi enggan mengambil risiko untuk meneruskan aksi kalau belum pulih sepenuhnya.

“Memang kecewa kalau tarik diri tapi saya perlu fikirkan mengenai jangka panjang. Jika tarik diri, saya hanya akan fokus terhadap Grand Prix (GP) Emas Jerman (28 Februari hingga 5 Mac) dan Seluruh England selepas itu,” katanya.

 ??  ?? AKSI Iskandar tak konsisten, ditambah faktor kecederaan.
AKSI Iskandar tak konsisten, ditambah faktor kecederaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia