Harian Metro

APAI BESAR SUDAH TIADA

„ Tinggal 46 hari genap tiga tahun Allahyarha­m pegang tampuk kepimpinan utama

-

Menghitung perjalanan politiknya sebagai Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem terlalu baru. Kalau ikutkan, hanya 46 hari saja lagi genaplah tiga tahun beliau memegang tampuk kepimpinan utama negeri itu.

Namun, Allah lebih menyayangi beliau. Pemergian Adenan akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan pada jam 1.20 tengah hari, semalam, adalah satu kehilangan besar.

Bakal menjangkau usia 73 tahun pada 27 haribulan ini, Allahyarha­m adalah Ketua Menteri Sarawak yang kelima selepas mengambil alih tugas daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Februari 2014.

“Saya Adenan Satem. Saya bukan ‘Rambut Putih’ (bekas ketua menteri Sarawak Tun Taib Mahmud). “Saya adalah diri saya sendiri. Beliau tidak memberitah­u apa yang saya perlu lakukan.” Ini adalah dua petikan terbaik yang pernah diucapkan pemimpin berjiwa rakyat ini ketika baru menjawat jawatan Ketua Menteri.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (BN-PBB) itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, menewaskan Jazolkipli Numan (PKR) dengan majoriti 5,892 undi.

Di Bumi Kenyalang, beliau umpama permata baharu dalam arena politik tempatan selepas menggantik­an legasi pemerintah­an bekas Ketua Menteri yang kini Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud selama 33 tahun.

Dalam tempoh kurang tiga tahun itu, bukan sedikit jasa beliau kepada rakyat Sarawak. Sebanyak 53 perkara dan inisiatif yang beliau laksanakan sepanjang tempoh itu.

Kelantanga­n Adenan terhadap penurunan kuasa mengikut terma dalam Perjanjian Malaysia barangkali antara inisiatif yang tidak dilupakan rakyat di negeri ini.

Bagi Adenan, hak dan keistimewa­an Sarawak ketika pembentuka­n Malaysia 53 tahun lalu melalui Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia dan Laporan Suruhanjay­a Cobbold perlu dikembalik­an semula.

Beberapa perkara sudah dipersetuj­ui antara kerajaan negeri dan Persekutua­n, ketika ini rundingan itu memasuki fasa kedua.

Dalam tampuk kepimpinan­nya, Adenan yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Nan atau Apai Besar turut memerangi habis-habisan pembalakan haram di negeri ini. Beliau mengarahka­n supaya 36 kilang papan ditutup bagi memastikan tiada balak haram yang diproses.

Tidak berhenti setakat itu, antara 53 perkara dan inisiatif penting yang beliau laksanakan sepanjang menjadi Ketua Menteri ialah menghapusk­an semua tol di Sarawak, penurunan tarif elektrik kepada pengguna domestik, tiada Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) dikenakan perkhidmat­an pihak berkuasa tempatan dan pengiktira­fan Sijil Peperiksaa­n Bersepadu (UEC) sekolah Cina.

Begitu pun, di sebalik kelantanga­n dan ketegasann­ya, Adenan juga ada sisi sentimenta­l yang mungkin berbeza sama sekali dengan dirinya sebagai orang politik.

Ketika di pejabat beliau di tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya, dekat Kuching, beliau lazimnya tidak keluar makan setiap kali makan tengah hari, melainkan menikmati hidangan disediakan isterinya Puan Sri Jamilah Anu.

Makanan kegemarann­ya ialah ikan terubuk, mi kolok dan laksa Sarawak. Dalam majlis tertentu, beliau tanpa segan memberitah­u betapa dia menyintai Jamilah dan akan mempersemb­ahkan lagu buat isterinya itu.

Mengimbas perjalanan politiknya, Adenan yang dilahirkan pada 27 Januari 1944 memulakan kariernya politiknya sejak 1976 bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan bertanding bagi kerusi DUN Muara Tuang sejak 1979.

Selain itu, beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Batang Sadong pada 2004 dan memegang jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2004.

Sejak 2006, beliau berpindah ke kerusi DUN Tanjung Datu dan pada 28 Februari 2014, beliau dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak yang kelima.

Anak kelahiran Kuching ini pernah bersekolah di sekolah rendah dan menengah St Joseph sebelum melanjutka­n pengajian dalam jurusan undang-undang Universiti Adelaide, Australia.

Selepas menamatkan pengajian pada 1970, beliau menjadi majistret, selain guru dan wartawan.

Kini, beliau akan terus dikenang rakyat Sarawak, bahkan jasanya sukar dilupakan dalam menjaga kepentinga­n penduduk negeri ini, selain tanggungja­wab mencorak serta merubah wajah politik di Sarawak.

Beliau meninggalk­an seorang isteri, lima anak iaitu empat perempuan dan seorang lelaki.

 ??  ??
 ??  ?? Allahyarha­m Tan Sri Adenan Satem ketika
tiba di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Beluru, Marudi, Miri pada (22 Mac 2016).
Allahyarha­m Tan Sri Adenan Satem ketika tiba di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Beluru, Marudi, Miri pada (22 Mac 2016).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia