Harian Metro

Terbang London RM1,500

Ramai mangsa termasuk golongan VIP ditipu wanita jual tiket murah

- Norizuan Shamsuddin norizuan@hmetro.com

Seorang wanita kaki auta menjadi buruan polis selepas dikesan aktif melakukan penipuan dengan taktik menawarkan tiket penerbanga­n tempatan dan luar negara palsu.

Difahamkan, suspek berusia 28 tahun yang bergiat aktif sejak awal tahun lalu sudah melakukan penipuan terhadap ramai mangsa termasuk golongan VIP membabitka­n kerugian beratus ribu ringgit.

Terbaru, seorang suri rumah menanggung kerugian RM20,000 lebih selepas diperdaya dengan tawaran tiket penerbanga­n murah dijanjikan.

Mangsa, mahu dikenali Ida, 49 berkata, kejadian berlaku selepas dia berkenalan dengan suspek pada 27 September tahun lalu.

Menurutnya, wanita terbabit yang memperkena­lkan dirinya sebagai Nor dan memaklumka­n boleh mendapatka­n tiket penerbanga­n daripada sebuah syarikat penerbanga­n tempatan pada harga murah berbanding harga biasa,

“Saya ketika itu bercadang ke London dan bertanyaka­n harga penerbanga­n pergi dan balik.

“Wanita itu memaklumka­n dia boleh mendapatka­n tiket penerbanga­n bagi destinasi itu pada harga RM1,500 bagi setiap seorang. Kos itu jauh lebih murah berbanding harga sebenar melebihi RM3,000,” katanya ketika dihubungi Wartawan Harian Metro, semalam.

Ida yang menetap di Putra Height, Puchong, berkata, dia kemudian bersetuju membuat tempahan tiket ke London bersama suami untuk penerbanga­n pada Februari ini.

Katanya, dia kemudian membuat bayaran RM3,000 menerusi satu transaksi ke akaun bank milik suspek.

“Selain itu, saya turut membeli tiket bagi penerbanga­n pulang anak saya yang menuntut di Amerika Syarikat pada harga RM4,000.

“Selain itu, tiket penerbanga­n adik angkat dan rakan membabitka­n penerbanga­n pergi dan balik dari Dubai dan Jakarta turut dibeli dari wanita itu membabitka­n jumlah keseluruha­n RM20,000,” katanya.

Dia berkata, wanita itu turut memberikan salinan tiket kepadanya namun dokumen itu didapati palsu selepas pemeriksaa­n dilakukan.

“Saya kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, Sarawak, pada 5 Disember lalu, ketika pulang ke kampung.

“Malah, rakan saya seorang individu bergelar Datuk dan Datin turut kerugian RM30,000 selepas diperdaya suspek sama,” katanya.

Sementara itu, sumber polis berkata, semakan dilakukan mendapati suspek sama turut dikesan melakukan penipuan penjualan tiket penerbanga­n murah terhadap dua individu termasuk seorang wanita di ibu kota.

Katanya, dua mangsa terbabit membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada 22 dan 29 Disember lalu.

“Seorang mangsa lelaki yang bekerja sebagai jurutera membuat laporan polis mendakwa kerugian RM2,750 selepas membuat tempahan tiket penerbanga­n pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah.

“Manakala seorang lagi mangsa penerbit rancangan di sebuah televisyen tempatan kerugian RM6,000 lebih selepas membayar tempahan tiket penerbanga­n ke New Zealand bersama dua rakannya

“Selain itu, suspek turut dikesan memiliki beberapa rekod jenayah lampau membabitka­n penipuan bagi urusan jual beli rumah dan pernah didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka kerana menipu ketika melakukan penjualan peralatan komputer beberapa tahun lalu,” katanya.

 ??  ?? SALINAN tiket palsu yang diterima pengadu.
SALINAN tiket palsu yang diterima pengadu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia