Harian Metro

Buat tiga kerja 24 jam sehari

-

Alor Gajah: “Sebelum ini kami semua buat tiga kerja 24 jam sehari untuk menyara keluarga. Apa tidaknya kami tiada sumber pendapatan lain sementara menunggu sawit baru ditanam mengeluark­an hasil.

“Hasil kutipan sawit tahun pertama amat tidak memberangs­angkan, ketika itu saya cuma dapat RM98,” kata Suboh Bantut, 67, seorang daripada 25 peneroka FELCRA Ramuan Cina, Lubok Cina, di sini, ketika ditanya mengenai kenaikan harga komoditi itu.

Katanya, dia dan peneroka lain menjadi peserta FELCRA pada 1973 dengan masing-masing mengusahak­an tanaman getah di atas tanah seluas empat hektar.

Namun pada 2007, mereka bersetuju dengan cadangan FELCRA melakukan penanaman semula yang digantikan dengan sawit yang dianggap lebih menguntung­kan.

Warga emas itu berkata, selama empat tahun dia menyara keluarga dengan mengambil upah menoreh getah, meracun kawasan kebun dan menjadi pengawal keselamata­n pada waktu malam.

“Syukur kami berjaya tempuh semua dugaan itu. Lebih manis sejak November lalu harga buah tandan segar (BTS) sawit meningkat kepada RM600 satu tan metrik berbanding RM500 sebulan sebelum itu.

“Harga terus meningkat kepada RM700 satu tan metrik Disember lalu hingga membolehka­n saya memperoleh hasil bersih jualan BTS RM8,800,” katanya ketika ditemui di FELCRA Ramuan Cina, di sini.

Dua lagi rakannya Ismail Abu Bakar, 61, dan Yunos Mohd Ali, 62, meluahkan rasa bersyukur kepada Allah kerana memurahkan rezeki mereka dengan kenaikan harga sawit.

Ismail berkata, harga sawit sekarang jauh lebih tinggi berbanding keadaan semasa mereka mula meneroka kebun masing-masing 44 tahun lalu. “Alhamdulil­lah, sekarang kami dapat geran tanah masing-masing dan hasil sawit pula semakin meningkat. Ada dalam kalangan kami mengupah pekerja mengait buah dan diangkut ke kilang, tetapi secara purata masih mendapat untung bersih RM6,000 November dan Disember lalu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia