Harian Metro

Pemilik kebun syukur raih RM3,000 sebulan

-

Kenaikan harga komoditi sawit kepada antara RM650 dan RM800 setan metrik ketika ini membawa rahmat kepada pekebun kecil yang mengusahak­an tanaman berkenaan di negeri ini.

Lebih-lebih lagi, ia bagi pemilik kebun yang mengusahak­an kebun sendiri dan tidak memajak kepada pihak ketiga atau mengupah buruh asing untuk mengusahak­an ladang mereka.

Bagi peneroka Rancangan Silabukan Peringkat 2 di sini, Dani Abdullah, 80, dia kini meraih pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan apabila harga sawit mencecah RM699 setan metrik, awal bulan ini.

Situasi itu jauh berbeza, apabila dia hanya meraih pendapatan kira-kira RM2,000 ketika harga komoditi itu kira-kira

RM350 untuk setan metrik, pada awal tahun lalu.

“Sejak mengusahak­an kebun seluas 10 ekar dengan menyertai Rancangan Silabukan pada 1978, saya tidak pernah mengupah orang. Sebaliknya mengusahak­an kebun ini dengan tulang empat kerat saya sendiri.

“Jika mengupah pihak ketiga, hasilnya dibahagi dua. Itu belum ditolak kos lain.. tetapi jika kami keluarga sendiri mengusahak­annya, pendapatan masuk ke poket keluarga kami,” katanya.

Menurut Dani, pendapatan tambahan hasil kenaikan harga itu turut dikongsi oleh 10 anak dan cucunya.

“Syukur ada pendapatan kami dari kebun sawit itu.

“Anak dan cucu membantu dalam penjagaan kebun, kalau nak harap saya, kesihatan pun tidak menentu.

“Harga sawit, ada naik dan turunnya, simpanan harus dibuat awal untuk masa kecemasan.

“Dengan harga barangan yang meningkat, kami sekeluarga terpaksa berjimat cermat juga,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peneroka Rancangan Silabukan Peringkat 2, Muhammad Rapi Badu, 73, berkata, harga sawit meningkat naik tuah kepada pekebun kecil sepertinya.

Ini kerana harga komoditi itu pernah begitu rendah sehingga mencecah RM38 setan metrik ketika mula-mula menyertai rancangan tanaman sawit.

“Cuma, apa yang dapat saya katakan waktu itu harga barangan harian juga murah, macam sekarang dengan harga sawit yang tinggi tetapi banyak juga yang perlukan wang.

“Kebun saya seluas 10 ekar (kira-kira empat hektar), pendapatan bulanan memang diperoleh dari kebun saja.

“Syukurlah, dengan kebun itu lah menampung perbelanja­an diri dan juga isteri,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia