Harian Metro

27% gaji untuk hiburan

- Rizanizam Abdul Hamid mrizanizam@hmetro.com.my

„ Khairy gesa golongan belia miliki ilmu pengurusan kewangan untuk elak muflis

Golongan belia perlu memiliki pengetahua­n dan maklumat berkaitan pengurusan kewangan bagi mengelak muflis.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pendidikan dan pengurusan dalam kalangan rakyat negara ini amat penting dan perlu dimulakan sejak dari bangku sekolah lagi.

“Saya melihat, trend perbelanja­an belia ketika ini amat membimbang­kan apabila statistik Jabatan Insolvensi Malaysia pada 2015 mendapati seramai 18,457 individu telah diisytihar­kan muflis dengan 25 peratus atau 4,648 adalah belia berusia antara 25 dan 34 tahun.

“Hal menyedihka­n kerana pada usia itu kebanyakan mereka baru sahaja memulakan hidup selepas tamat pengajian dan status muflis pastinya merumitkan lagi kehidupan serta masa depan mereka, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian penutup Karnival Kewangan 2017 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini yang diadakan selama tiga hari sejak Jumaat lalu dan berakhir semalam.

Hadir sama, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Muhammad Ibrahim.

Mengulas lanjut Khairy berkata, situasi muflis dapat dielakkan sekiranya belia mempunyai pengetahua­n mendalam mengenai pengurusan kewangan, memastikan gaya hidup sejajar dengan pendapatan dan tidak terlalu ikutkan nafsu ketika berbelanja.

“Kajian yang dipetik dari Bank Negara pula menunjukka­n golongan belia mengamalka­n corak perbelanja­an yang membimbang­kan dengan 21 hingga 27 peratus daripada pendapatan mereka digunakan untuk hiburan dan bukannya simpanan.

“Statistik oleh pakar perunding kewangan bebas juga mendapati kebanyakan belia mempunyai nisbah hutang kepada pendapatan sangat tinggi iaitu melebihi 100 peratus,” katanya.

Justeru menurut beliau, golongan beliau perlu memanfaatk­an sepenuhnya karnival kewangan itu bersesuaia­n dengan hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai anak muda celik tentang pengurusan kewangan, hutang dan perbelanja­an masing-masing.

“Saya difahamkan, karnival yang dilihat telah merakyatka­n BNM ini dihadiri lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari ini dan nampaknya ia permulaan yang baik untuk diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Karnival percuma itu turut bekerjasam­a dengan institusi kewangan yang menyediaka­n lebih 100 penyedia perkhidmat­an kewangan, persatuan dan agensi menawarkan pelbagai perkhidmat­an dan produk.

Pengunjung karnival berkenaan juga dapat menyertai perkhidmat­an kaunseling kewangan dan penyelesai­an pertikaian, produk dan perkhidmat­an untuk simpanan, pembiayaan dan pelaburan.

Antara pemain perkhidmat­an kewangan yang turut menyertai karnival berkenaan ialah syarikat penyedia insurans bagi membolehka­n orang ramai membeli produk insurans dan takaful.

 ??  ?? KHAIRY beramah mesra bersama pemenang pidato selepas merasmikan majlis penutupan Karnival Kewangan 2017 di PWTC.
KHAIRY beramah mesra bersama pemenang pidato selepas merasmikan majlis penutupan Karnival Kewangan 2017 di PWTC.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia