Harian Metro

Nikmat kembara sepenuh masa

-

Kuala Lumpur: Tidak ramai sanggup melepaskan kerjaya sedia ada semata-mata mahu menjadi pengembara beg galas sepenuh masa.

Namun, tindakan berani itu dilakukan oleh seorang pemuda dari Johor Bahru pada November 2013 meskipun peringkat awalnya mendapat bantahan keluarga.

Mazlan Zanon, 29, berkata, keputusan nekadnya didorong minatnya yang mendalam terhadap aktiviti itu, malah tidak berasa menyesal melepaskan jawatan sebagai pereka fesyen yang disandangn­ya 10 tahun lalu.

“Saya seronok dengan kehidupan sekarang (menjadi pengembara sepenuh masa) kerana banyak peluang baharu yang saya peroleh terutama dapat mengembara di 15 negara.

“Baru lima hari saya pulang dari London dan menetap di negara itu selama 75 hari. Antara negara lain dijelajah ialah Scotland, Jepun, Australia, India, China, Thailand, Vietnam, Singapura dan Korea Selatan,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, menjadi pengembara sepenuh masa sebenarnya menjadikan dia lebih kreatif untuk mencari wang bagi menampung kos perbelanja­an sepanjang pengembara­an.

“Saya bekerja sambilan sebagai pemandu pelancong, pembantu pembeli peribadi dan menjadi sukarelawa­n rumah tetamu apabila mengembara di sesebuah negara.

“Bayaran upah daripada perkhidmat­an itu menjadi sumber pendapatan saya,” katanya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, tujuan utama mengembara bukan hanya melihat keindahan di negara dilawati, tetapi mahu meneroka tarikan lain seperti adab serta budaya masyarakat­nya.

“Sebab itu saya menetapkan tempoh yang panjang apabila pergi mengembara dan paling lama setahun di Korea Selatan.

“Di Korea Selatan saya tinggal bersama penduduk di sana sehingga boleh menguasai dengan baik bahasa Korea,” katanya.

Katanya, bulan depan dia merancang mengembara ke New Zealand, tetapi belum memutuskan tempoh tinggal di negara berkenaan.

“Ada rakan yang mempertika­ikan tindakan saya menjadi pengembara sepenuh masa, tetapi saya mempunyai alasan tersendiri.

“Saya mahu memanfaatk­an masa muda untuk menimba pengalaman menarik,” katanya.

 ??  ?? ANTARA gambar dirakam Mazlan ketika mengembara.
ANTARA gambar dirakam Mazlan ketika mengembara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia