Harian Metro

SMS ‘suapan’

- Aizat Sharif mohd.aizat@hmetro.com.my

„ Penolong jurutera kanan awam ditahan disyaki minta rasuah daripada kontraktor

Seorang penolong jurutera kanan awam ditahan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya di Kampung Sungai Daun dekat sini, jam 11.30 pagi semalam, kerana disyaki menyalah guna kuasa serta meminta rasuah daripada beberapa kontraktor sebagai imbuhan mendapat projek kerja penyelengg­araan juga naik taraf jalan di Sik.

Sumber berkata, suspek berusia 56 tahun dipercayai menerima wang rasuah daripada kontraktor membabitka­n lebih 30 projek penyelengg­araan dan naik taraf jalan sejak 2012.

“SPRM menyiasat jumlah wang suapan diterima suspek dan percaya dia menerima suapan daripada sekurang-kurangnya enam kontraktor di negeri ini sejak mula memegang jawatan itu empat tahun lalu,” katanya.

Difahamkan, siasatan mendapati suspek menghubung­i dan meminta rasuah daripada kontraktor yang ditawarkan projek menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ atau SMS bagi menetapkan jumlah, lokasi dan waktu penyerahan selepas kontraktor terbabit dilantik menerusi permohonan sebut harga.

“Jika kontraktor berkaitan enggan, suspek bukan setakat tidak menunaikan permintaan mereka, malah menyenarai­hitamkan kontraktor berkaitan.

“Suspek menerima rasuah secara tunai dan ia dilakukan sama ada di rumah, pejabat atau dalam kenderaann­ya,” katanya.

Menurut sumber, sepanjang 2016, suspek dipercayai menganuger­ahkan 28 projek kepada tujuh kontraktor yang mempunyai kepentinga­n dan menerima suapan berjumlah RM650,000.

“SPRM menyita fail sebut harga bagi projek kerja di Sik tahun lalu ketika menggeleda­h pejabat suspek, jam 8.30 pagi semalam.

“Dua belas individu termasuk isteri suspek, dua juruteknik, kakitangan jabatan itu serta tujuh kontraktor turut dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya.

SPRM kini mengumpul maklumat daripada kontraktor yang dipercayai dipaksa memberi suapan kepada suspek sekiranya mahu tawaran kerja.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Seksyen 17(a) ASPRM 2009 memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.

Bagi AMLATFPUAA 2001 pula, akta itu memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani mengesahka­n tangkapan berkenaan dan memaklumka­n pihaknya turut menyiasat jika ada pembabitan individu lain.

Suspek dijangka direman di Mahkamah Alor Setar hari ini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia