Harian Metro

Pembunuh pengurus ke tali gantung

-

Ipoh: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap pemotong lori haram selepas didapati bersalah membunuh pengurus syarikat kawalan keselamata­n di kedai makanan dan minuman di Kampung Simee, empat tahun lalu.

Pesuruhjay­a Kehakiman SM Komathy Suppiah menjatuhi hukuman itu terhadap Lee Meng Boon, 39, selepas pihak pembelaan gagal menimbulka­n keraguan munasabah terhadap kes berkenaan sepanjang perbicaraa­n.

Tertuduh yang berbaju T putih dan berseluar jeans biru gelap kelihatan tenang dan tunduk sebaik keputusan itu dibacakan Komathy.

Lee didakwa atas tuduhan membunuh Jasrafveen­deerjeet Singh, 25, di depan kedai makanan dan minuman Sun Heng di No. 350, Lebuh 5, Kampung Simee di sini, jam 10.15 malam, 28 Julai 2013.

Tertuduh yang berasal dari Bukit Baru, Melaka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Lee juga didapati bersalah atas dua pertuduhan iaitu cubaan membunuh Kok Loo Kong, 55, dan Sarbjit Singh Harder Singh, 28, di tempat, masa dan tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Jeffry Ong manakala tertuduh diwakili peguam Sudesh Singh Salinder Singh.

Terdahulu, Komathy dalam penghakima­nnya berkata, beliau menerima keterangan saksi bahawa Lee orang yang melepaskan tembakan dan mahkamah mendapati dia bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan.

 ??  ?? LEE dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman gantung.
LEE dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman gantung.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia