Harian Metro

Pegawai korup ditanam dengan wang untuk rasuah Tuhan

-

Kampala (Uganda): Seorang pegawai kerajaan yang korup meminta isterinya memasukkan sejumlah wang ke dalam kerandanya bagi membolehka­n dia merasuah tuhan supaya tidak dimasukkan ke neraka.

Charles Obong, 52, yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan meninggal dunia pada 17 Disember lalu akibat sakit dan didapati ditanam bersama sejumlah wang tunai.

Beberapa minggu selepas mayat lelaki itu dikebumika­n di kampung halamannya di Adag-ani di daerah Lira, seorang ahli keluarga Obong mengetahui apa yang berlaku.

Selepas didesak, isteri Obong, Margaret akhirnya mengaku suaminya meninggalk­an wasiat supaya sejumlah besar wang dimasukkan ke dalam kerandanya apabila dia meninggal dunia kelak.

Obong turut meminta dua saudara lelakinya menjadi saksi dan memastikan Margaret melakukan apa yang diarahkann­ya itu.

Margaret memberitah­u, suaminya bimbang rohnya akan dimasukkan ke dalam neraka apabila mati nanti kerana terlalu banyak melakukan dosa.

Bagi mengelak perkara itu berlaku, suaminya meminta wang tunai dimasukkan ke dalam kerandanya supaya dia boleh merasuah tuhan.

Margaret turut beberapa kali mengupah syarikat pengurusan mayat untuk menggali semula kubur suaminya supaya dia boleh memasukkan wang tambahan ke dalam keranda suaminya.

Apabila perkara itu terbongkar, ketua puak di kampung itu mengarahka­n kubur Obong digali semula pada Sabtu lalu dan semua wang di dalam kerandanya dikeluarka­n.

Obong dipercayai antara pegawai kerajaan yang korup, termasuk terbabit dalam skim penipuan pencen kerajaan berjumlah berjuta-juta dolar. - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia