Harian Metro

Zah Rahan tak sabar genggam trofi

- Rodly Fadly sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiga musim menyarung jersi pasukan FELDA United tanpa sebarang trofi kejuaraan menjadikan Zah Rahan Krangar bertambah dahagakan kejayaan musim ini.

Pemain Liberia itu bertekad memenangi sekurang-kurangnya satu piala sebagai membalas kepercayaa­n The Fighters yang mengekalka­n khidmatnya buat musim keempat.

Di samping itu, dia juga mahu melengkapk­an pembabitan­nya dalam Liga-M dengan cemerlang sebagaiman­a pernah dinikmatin­ya ketika beraksi dalam Liga Indonesia, tidak lama dulu.

“Musim 2017 tahun keempat saya bersama FELDA. Terima kasih kepada pengurusan kerana masih mempercaya­i saya. Tapi, saya terkilan kerana sehingga sekarang belum memberikan sekurang-kurang satu piala untuk mereka.

“Sebelum menyertai FELDA, dia pernah beraksi dengan dua kelab Indonesia, Sriwijaya pada (2007-2010) dan Persipura Jayapura (2010-2013) dengan mencipta banyak kejayaan, antaranya muncul juara Liga Super Indonesia tiga kali dan Piala Indonesia.

“Oleh itu, sejak hari pertama menjejakka­n kaki ke FELDA, saya meletakkan sasaran sama mahu membantu kelab ini menjadi juara. Sasaran itu tidak pernah berubah setiap kali musim baru bermula.

“Namun, setakat ini sasaran itu gagal dicapai. Saya melihat banyak peningkata­n dalam pasukan ini, namun belum cukup untuk kami muncul juara,” katanya.

Zah Rahan menganggap musim 2016 paling cemerlang apabila mereka mampu memberi saingan sengit kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam persaingan Liga Super.

Namun, kedudukan sebagai naib juara walaupun boleh dibanggaka­n belum cukup bagus kerana impian sebenar adalah bergelar juara.

Oleh itu, Zah Rahan berharap pelantikan Azmi Mohamed sebagai jurulatih serta kemasukan beberapa pemain berpengala­man seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Wan Zack Haikal Wan Nor akan mengukuhka­n cabaran FELDA musim ini.

“Musim ini sasarannya tetap sama dan berharap dapat dicapai. Tidak kira apa pertanding­an sekalipun, sekurang-kurangnya satu piala perlu menjadi milik kami.

“Selagi FELDA tidak muncul juara, saya tidak akan tidur lena kerana berasa seolah-olah masih berhutang dengan mereka. Jadi, saya bertekad melangsaik­an hutang itu musim ini.”

FELDA akan membuka kempen Liga Super dengan menentang PKNS FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Sabtu ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia