Harian Metro

Samassa, Tadjiev perkasa Titans hadapi Ngap Sayot

- Faizul Azlan Razak sukan@hmetro.com.my

Terengganu: Dua awang import baru, Mamadou Samassa dan Farhod Tadjiev menjadi sandaran utama T-Team dalam misi mengutip tiga mata penuh apabila melayani kunjungan Sarawak dalam aksi sulung Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Farhod yang pernah menyarung jersi The Titans pada 2015 kembali ke negeri ini bagi menggantik­an Patrick Dos Santos Cruz dari Brazil yang tidak disambung kontrak manakala Samassa menggisi tempat pemain import kelahiran Mali, Makan Konate selepas digugurkan dari skuad musim ini kerana kecederaan.

Bagaimanap­un, pasukan itu mengekalka­n dua pemain import musim lalu, Abdoulaye Youssouf Maiga yang bermain di benteng pertahanan dan tonggak tengah, Dilshod Sharofetdi­nov.

Ketua jurulatih T-Team Rahmad Darmawan berkata, pihaknya yakin kehadiran Samassa dan Farhod mampu memperkuat­kan pasukan merobek pintu gawang lawan terutama dalam pertemuan dengan skuad Bujang Senang, Sabtu ini.

Pengendali kelahiran Indonesia itu berkata, beliau tidak tahu sejauh mana kekuatan Bujang Senang tahun ini tetapi pemain diturunkan harus berwaspada dengan corak permainan lawan.

“Saya sudah ada kesebelasa­n terbaik untuk diturunkan bertemu Sarawak, namun bergantung kepada prestasi pemain ketika latihan kerana semua pemain begitu bersemanga­t memberikan mutu permainan terbaik dan masing-masing bersaing merebut tempat.

“Moral pemain juga berada dalam keadaan terbaik dan sudah pasti mahu mencari kemenangan pertama dalam aksi pembukaan Liga Super Sabtu ini. Saya yakin semangat juang tinggi pemain mampu membawa pasukan pergi jauh musim ini,” katanya pada sidang media di Pejabat T-Team, di sini, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia