HENTIKAN SEGERA!
Perdana Menteri gesa Myanmar iktiraf hak asasi etnik Rohingya
Kuala Lumpur
“Saya tegaskan di sini kepada ‘rakan’ kita di Myanmar, buktikan bahawa nilai anda setara dengan tradisi dan sejarah negara anda seperti yang dilaungkan oleh bapa kemerdekaan Jeneral Aung San pada tahun 1946 berkaitan kepentingan hak asasi dalam sesebuah negara,” tegas Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, tindakan menafikan hak asasi paling asas oleh kerajaan Myanmar ke atas umat Islam Rohingya ketika ini mestilah dihentikan segera.
Kata beliau, ASEAN mempunyai hak untuk membangkitkan kebimbangannya berikutan krisis kemanusiaan di negara itu.
“Deklarasi Hak Asasi ASEAN jelas menyebut bahawa setiap hak kemanusiaan itu dilindungi undang-undang, hak jaminan keselamatan, hak kebebasan beragama, hak untuk tidak dizalimi melampaui batas kemanusiaan.
“Tiada siapa boleh menyatakan bahawa semua ini sedang dipertahankan di Rakhine, kita mahu Muslim Rohingya hidup aman damai dan sebagai minoriti mereka mematuhi undang-undang Myanmar.
“Jika tidak, kita akan berasa malu dengan apa yang menjadi pendirian komuniti serantau yang mengasaskan ASEAN 50 tahun lalu,” kata beliau semasa menyampaikan ucaptama pada Sesi Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di sini, semalam.
Turut hadir Setiausaha Agung OIC Dr Yusuf Ahmad Al-Othaimeen, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Seramai 41 anggota dari 57 anggota OIC hadir termasuk termasuk lapan menteri luar, timbalan menteri luar (12) dan wakil.
Dalam pada itu, Najib mengumumkan bantuan dana sebanyak RM10 juta untuk membantu usaha kemanusiaan dan projek pemulihan sosial di Rakhine, Myanmar.
Beliau berkata, Malaysia sudah sekian lama menjadi antara negara yang terkehadapan memperjuangkan masalah ummah termasuk Rohingya serentak dengan bersama perjuangan rakyat Palestin.
Kata beliau, dana itu akan digunakan untuk membina infrastruktur seperti institusi pendidikan, perubatan selain menyumbang kepada pembangunan di wilayah itu di samping membaiki kualiti hidup masyarakat Rohingya.
Sementara itu, Najib