Tak tinggal Tahajud
Pelajar cemerlang SAM Bestari ubah gaya hafalan dengan berlagu
“Tiada rahsia istimewa selain doa ibu bapa dan bangun solat Tahajud setiap malam memohon dada kita dilapangkan supaya mudah menerima pelajaran,” ujar pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016 Muhammad Aimi Shahriman Nor Hisham.
Pelajar Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari, USJ Subang Jaya itu memperoleh pencapaian Mumtaz dengan gred 99.7 peratus.
Dia berkata, setiap pelajar yang ingin berjaya harus memulakan setiap pagi dengan solat Tahajud sebelum mengulang kaji pelajaran.
“Kalau boleh buat setiap hari, jadikan amalan dalam kehidupan seharian, selepas itu hati jadi tenang dan kita selesa mengulang kaji.
“Selain itu, doa ibu bapa sangat penting, selalu minta mereka doakan kita supaya kita mudah menerima setiap apa yang diajar,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu.
Katanya, pelbagai teknik dilakukannya untuk cemerlang di dalam SMA antaranya setiap hafalan mata pelajaran digubah menjadi lagu.
“Kita boleh jadikannya lagu supaya kita mudah faham sebelum menghafalnya dan ia terbukti berkesan,” katanya.
Sementara itu, Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi, 17, yang memperoleh gred 99.5 peratus berkata, sikap bantu membantu antara rakan sekelas membolehkannya mencatat keputusan cemerlang.
Pelajar tingkatan lima yang juga dari SAM Bestari USJ Subang Jaya itu berkata, teknik itu diamalkan di sekolah sehingga ia dinobatkan sebagai sekolah terbaik keseluruhan STAM 2016.