Twinnies taruh keyakinan
Penyanyi kembar berharap single Bertabahlah beri sinar buat mereka
Tiga tahun mencanai bakat, Twinnies yang dianggotai Atikah dan Atirah sedar kehadiran mereka kurang mendapat perhatian dalam industri.
Biarpun single berjudul You Marah I Love You pernah tular di YouTube, Twinnies tidak putus asa apabila tuah tidak berpihak kepada mereka.
Pasangan kembar seiras optimis pasti ada jalan sekiranya mereka terus mempertaruhkan produk berkualiti.
Terbaharu, dua penyanyi berusia 25 tahun ini kembali mempertaruhkan single berjudul Bertabahlah ciptaan DJ Fuzz dan Adik (Viral).
Mengakui semakin matang merancang aktiviti seni, Atikah yang kini bertugas sebagai peyampai radio sambilan di Radio Malaysia Perlis yakin kehadiran mereka akan diterima peminat.
“Single sebelum ini kami ketengahkan elemen jaz tetapi untuk Bertabahlah kami beralih kepada genre balada. Muziknya lebih segar dan kena dengan selera pendengar masa kini.
“Lagipun, selepas hampir tiga tahun mencanai bakat, kami semakin peka dan faham dengan cita rasa pendengar.
“Kami percaya lagu ini dapat diterima ramai apatah lagi ia dihasilkan DJ Fuzz. Kebanyakan lagu ciptaannya sebelum ini melekat di hati pendengar.
“Diharap Bertabahlah dapat memberi sinar baru kepada Twinnies untuk lebih dikenali dan kekal relevan dalam industri,” katanya.
Mengulas lanjut single terbaru itu, Atikah berkata ia sedikit sebanyak menceritakan kembara seni mereka yang berliku.
Meskipun hampir tiga tahun mengabdikan diri sebagai penyanyi, mereka tidak pernah kenal erti putus asa dan tabah menghadapi apa sahaja dugaan yang datang.
“Tidak pernah wujud istilah kesal malah kami optimis untuk terus mengembangkan bakat. Kami minat menyanyi sejak di bangku sekolah.
“Walaupun melalui pelbagai dugaan untuk membina nama, kami bertuah dikelilingi orang yang positif. Di saat kami jatuh, keluarga dan syarikat rakaman tidak putus-putus memberikan kata semangat supaya kami tidak mengalah.
“Lagu Bertabahlah banyak mengajar kami untuk terus bersabar dan percaya rezeki pasati hadir dengan izin-Nya,” katanya.
Twinnies sedar kurangya promosi antara punca mereka kurang dikenali memandangkan masingmasing sibuk dengan komitmen termasuk menghabiskan pengajian dalam bidang muzik di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.
Kata Atirah, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Suria Records (SRC) kerana memahami jadual mereka.
“Syukur kami sudah menamatkan pengajian. Kini, kami selalu berulang-alik dari Perlis dan Kuala Lumpur. Penat memang penat tetapi kerana minat dan ada permintaan menjayakan persembahan, kami terima dengan hati terbuka.
“Terima kasih kepada SRC kerana sentiasa memahami jadual kami. Mereka sangat fleksibel dan akan memastikan jadual kami tersusun cantik dan tiada pertindihan,” katanya yang tampil dengan single Dalam Hati.
-