Senyuman 350 kanak-kanak
Terima bantuan daripada Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah
Seramai 350 anak yatim dari 10 daerah di Kedah mengukir senyuman kerana terpilih menerima bantuan daripada Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah di hotel terkemuka di Alor Setar, baru-baru ini.
Bukan saja menerima bantuan berupa wang tunai dan hamper, kelengkapan pakaian sekolah turut disediakan bagi meringankan beban keluarga menjelang sesi persekolahan.
Anak berumur antara tujuh hingga 16 tahun ini turut diraikan dalam majlis makan tengah hari sebelum dibawa mencuba pakaian sekolah di pasar raya.
Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Rosli Awang berkata, Sultanah Kedah Sultanah Hajah Haminah Hamidun sangat mengambil berat dan prihatin terhadap golongan kanak-kanak ini.
“Mereka antara harta yang tidak ternilai dan sangat berharap kurniaan ini dapat memberikan semangat kepada kanakkanak ini bagi meneruskan pembelajaran serta mencorak hala tuju masa depan negara.
“Pada tahun ini, yayasan sudah memperuntukkan sebanyak RM100,000 dalam usaha memberikan keceriaan dan kegembiraan kepada kanakkanak,” katanya.
Katanya lagi, lazimnya Tuanku Sultanah sendiri berkenan berangkat dan memberikan sumbangan tapi disebabkan tugasan rasmi yang lain, baginda tidak dapat berangkat sama pada hari berkenaan.
Yayasan yang ditubuhkan pada 15 Julai 2011 atas perkenan Tuanku Sultanah sendiri yang sememangnya terkenal mesra dengan kanak-kanak terutama anak yatim.
Kini, yayasan yang mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak terutama korporat dan swasta meluaskan skop kebajikannya kepada golongan tidak berkemampuan termasuk ibu tunggal.
Selain bantuan menjelang musim persekolahan, yayasan berkenaan turut memberikan sumbangan setiap kali tibanya Aidilfitri. Begitu juga sumbangan bagi masyarakat menjalankan aktiviti keagamaan.