14 HARI JADI 5 BULAN
Mahkamah tinggi tambah hukuman suami isteri kasari penjawat awam
“Apabila terima notis kompaun, kamu seharusnya terus membayarnya, jangan guna kekerasan kepada penjawat awam yang melakukan tugas kerana ia kesalahan serius,” demikian kata-kata Pesuruhjaya Kehakiman, Wong Teck
Meng sebelum menjatuhkan hukuman penjara lima bulan kepada pasangan suami isteri yang mengasari penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), November lalu.
Keputusan itu diputuskan Wong terhadap Lor Ka Hoo, 35, dan Tan Sit Fun, 30, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.
Kedua-dua tertuduh pada 25 November tahun lalu dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, selepas mengaku salah mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan bagi membolehkan Ka Hoo dan Sit Fun dikenakan hukuman lebih berat supaya menjadi pengajaran kepada orang ramai.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap Nurul Ain Isa, 23, ketika menjalankan tugas dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi, mangsa bersama rakan setugas menjalankan tugas di kawasan BRP 6/11 Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dan mengeluarkan saman ke atas sebuah kereta yang tidak mempunyai kupon bayaran letak kenderaan.
Dalam pada itu, pada prosiding semalam, Wong turut memberitahu bahawa jika seseorang diberikan notis kompaun oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka hanya perlu membayar RM10 hingga RM30 jika ia diselesaikan dalam tempoh 24 jam dan jumlah kompaun akan meningkat sekiranya dibayar lewat.
Katanya, kedua-dua tertuduh dikehendaki menjalani hukuman penjara mulai semalam namun dibenarkan membuat rayuan berkenaan keputusan itu.
Kedua-dua tertuduh kemudian dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Iskandar Ahmad, Mohd Fairuz Johari dan Ng Wee Lee manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, S Gabriel.