Wanita terpaksa tinggalkan empat anak demi cari rezeki
Melaka: “Sepanjang sembilan jam bekerja, hati saya memang tak tenang memikirkan keselamatan anak-anak di rumah. Mahu atau tidak, saya terpaksa tinggalkan mereka di rumah, kalau tak siapa nak bagi kami makan.
“Lebih membimbangkan anak sulung dari empat beradik adalah orang kurang upaya (OKU). Nasib baik kakak (anak kedua) boleh diharap untuk jaga adik-adik dan abangnya,” kata ibu muda Siti Norafiza Abd Rahman, 25.
Kerana kesempitan Siti Norafiza terpaksa meninggalkan empat anak di rumah tanpa pengawasan orang dewasa di rumah kerana perlu keluar bekerja di sebuah pasar rasa di Ayer Keroh, bermula jam 1 tengah hari hingga 10 malam setiap hari.
Katanya, apa yang paling membimbangkan adalah keselamatan anak sulung lelakinya yang lumpuh dari paras pinggang ke kaki sejak lahir, menyebabkan dia terpaksa dibantu untuk melakukan aktiviti seharian.
“Sepanjang tempoh meninggalkan anak-anak di rumah, hati saya memang tak tenang, pelbagai perkara bermain dalam fikiran. Risau jika mereka ditimpa kejadian buruk, mujur sepanjang enam bulan ini Allah melindungi mereka.
“Tepat jam 6 petang pada waktu rehat, saya bergegas pulang ke rumah, hati ini lega seketika melihat anak-anak dalam keadaan selamat. Selesai beri makan dan menyiapkan apa yang patut kira-kira jam 7 malam saya kembali semula ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Bukit Katil, di sini, semalam.
Siti Norafiza berkata, selain mengharapkan anak keduanya sepanjang ketiadaannya di rumah, dia juga meminta bantuan jiran untuk memantau keadaan empat beradik berkenaan.
Wanita itu berkata, kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dia kerap mengikut perut kerana mahu mendahulukan keperluan anak-anak, selain menebalkan muka meminjam daripada rakan dan adik-beradik.
“Syukur anak-anak faham masalah saya, mereka tidak pernah buat hal. Saya kagum dengan anak kedua, walaupun masih budak dia tahu apa perlu dilakukan semasa saya keluar bekerja.
Menurutnya, beban ditanggungnya berkurang kerana anak sulung yang juga murid tahun tiga kelas pendidikan khas Sekolah Rendah Dato Demang Hussin mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah.
Katanya, dengan bantuan Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Bukit Baru, dia menerima bantuan bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula tahun ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Khidmat Masyarakat Jabatan Ketua Menteri Abd Razak Abu berkata, sebaik menerima aduan mengenai masalah ibu muda itu, pihaknya mengambil tindakan segera membuat lapora ke JKM.
Beliau berkata, walaupun wanita itu bukan berasal dari Melaka dan baru menetap di negeri ini sejak enam bulan lalu pihaknya tetap memberikan bantuan kerana anak-anaknya masih kecil.
“Saya bersama pegawai JKM sudah melawat keluarga itu Khamis lalu, selain JKM kami sedang uruskan bantuan makanan bulanan dan bayaran sewa rumah daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), katanya.