Mentor 700 mualaf
Tokoh Maulidur Rasul buka lorong hidayah berbekal akhlak terpuji
Walaupun pada zahirnya kelihatan uzur kerana berkerusi roda manakala penglihatannya semakin kabur akibat kencing manis, Abdul Latif Satharan Abdullah masih mempunyai semangat waja dan berjiwa tinggi terutama dalam membicarakan mengenai agama Islam.
Siapa sangka bekas penganut Hindu yang menetap di sebuah ladang Hulu Selangor, Selangor ini membuat perubahan besar dalam hidupnya pada usia 25 tahun dan kini antara penyumbang dalam pengembangan syiar Islam di negara ini.
Apa yang menakjubkan, pada usianya mencecah 58 tahun bapa kepada dua anak berusia 23 dan 26 tahun ini sudah berjaya membantu usaha pengislaman lebih 700 individu kerana pengaruh akhlak terpuji yang ditonjolkannya.
Beliau pernah bertugas sebagai guru agama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), mubaligh bahasa Tamil dan baru saja menamatkan perkhidmatan sebagai Panel Dakwah Mualaf di Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada tahun lalu.
Menurut Abdul Latif Satharan yang dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 2017 sempena Program Maulid Perdana Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM) semalam, walaupun kehilangan kaki kirinya pada Ogos lalu kerana kencing manis, dia mahu meneruskan perjuangan semampu boleh serta berharap kejayaannya dijadikan inspirasi kepada rakan lain.
“Saya tak pernah anggap diri ini bagus, tak ada apa yang hendak dibanggakan sangat. Cuma mungkin orang tertarik mengikut jejak saya memeluk Islam kerana perubahan diri saya daripada seorang budak estet kepada yang lebih baik.
“Selagi hayat ada, selagi itulah saya ingin terus berjuang untuk Islam dan semoga usaha yang sedikit ini akan menarik lebih ramai lagi mengenal Tuhan Yang Satu (Allah). Kini, saya sedang berusaha untuk membina Pusat Tarbiah Al-Hidayah khusus untuk membimbing mualaf India di Malaysia,” katanya.
Beliau ditemui selepas menerima sijil penghargaan dan wang tunai disampaikan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri di Dewan Muktamar Pusat Islam di sini, semalam.
Turut hadir, Presiden PERMIM Dhajudeen Shahul Hameed.
Lebih 2,000 tetamu terdiri daripada 60 pertubuhan di bawah PERMIM dari seluruh negara hadir pada majlis yang berlangsung sehingga malam tadi.
Abdul Latif Satharan berkata, pada peringkat awal penghijrahannya kira-kira 32 tahun lalu dia berdepan pelbagai cabaran termasuk tentangan keluarga dan rakan.
“Walaupun keluarga marah saya memeluk Islam dan rakan-rakan pula ramai boikot dan mencaci niat baik saya itu, tak pernah sedikit pun saya membalasnya sebaliknya menunjukkan mereka cara Islam yang sebenar.
“Apabila saya sudah mengenal apa itu Islam dan konsep ketuhanan saya merasakan kehidupan tambah bermakna dan bermatlamat.
“Syukurlah, lama kelamaan berkat kesabaran dan doa akhirnya keluarga dan rakan mula menghormati keputusan saya itu walaupun ibu bapa dan adik saya tidak sempat memeluk Islam (meninggal dunia),” katanya.