ISTAF benar PSM tangguh bayar denda
Kuala Lumpur: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) membenarkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menangguhkan bayaran denda berjumlah AS$18,000 (RM80,000) hingga 8 Februari ini.
Tiga pemain dan tiga pegawai dikenakan denda sebanyak itu susulan keengganan meneruskan aksi final Piala Raja Thailand di Bangkok, Oktober lalu.
Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader
(gambar) selepas menerima surat penangguhan daripada PSM ketika ketika tarikh asal untuk membuat bayaran adalah kelmarin.
“Kami menerima surat permohonan untuk menangguhkan bayaran dan menilainya. Jadi ISTAF bersetuju tempoh diberikan hingga 8 Februari ini, seperti diminta PSM.
“Namun sekiranya gagal membuat bayaran penuh pada tarikh itu, mereka akan digantung seperti diputuskan Lembaga Disiplin ISTAF,” katanya.
Regu kedua negara diketuai Izurin Refin, Afifuddin Razali dan Safarudin Abu Bakar dikenakan denda
AS$2,000 (RM8,800) seorang atau berdepan penggantungan tiga bulan.
Manakala pengurus negara Mohd Zambri Abdul Rahman, ketua jurulatih Abdul Talib Ahmad dan penolong jurulatih Rashidi Nordin berdepan penggantungan enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda AS$4,000 (RM17,700) seorang.
“Bagaimanapun sekiranya PSM berhasrat untuk mengemukakan rayuan terhadap denda berkenaan, mereka mempunyai peluang hingga Sabtu ini.
“Ingin saya jelaskan, tindakan yang dikenakan tidak bertujuan untuk menghukum namun lebih kepada mendidik setiap individu bagi menghormati undang-undang sepak takraw,” ujarnya.