Dollah puas Tok Gajah kutip satu mata di tempat lawan
Kuantan: Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika bertemu Perak pada aksi pertama Liga Super kelmarin, ketika skuad itu terpaksa melakukan perubahan pemain pada saat-saat akhir.
Namun, bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, berbekalkan semangat dan komitmen tinggi dipamerkan pemain, skuad Tok Gajah berjaya meraih satu mata di tempat lawan.
Keputusan itu positif buat Pahang memandangkan ia perlawanan pertama dalam saingan Liga Super dan sudah pasti untuk membentuk persefahaman mantap memerlukan masa, ujarnya.
“Saya gembira dengan komitmen semua pemain yang
(gambar)
berusaha memberikan saingan kepada lawan dan kesungguhan mereka berjaya memastikan pasukan tidak pulang hampa.
“Saya harap keputusan ini memberi semangat kepada pemain untuk meningkatkan lagi permainan mereka pada perlawanan kedua nanti.
“Saya lihat juga komitmen semua pemain dari bahagian serangan, tengah dan pertahanan menunjukkan peningkatan seperti diinginkan dan diharap ia bertambah positif pada perlawanan akan datang,” katanya semalam.
Dalam perlawanan itu, Pahang terlebih dulu menjaringkan gol menerusi pemain tengah Syamim Yahya pada minit ke-56 sebelum pemain import tuan rumah Thiago Junior menyamakan kedudukan pada minit ke-68.
Keputusan seri itu begitu bermakna buat Pahang memandangkan sebelum bertandang ke Ipoh beberapa pemain mengalami kecederaan seperti Saiful Nizam Miswan, Christie Jayaseelan dan R Kogileswaran.
Pada masa sama, penyerang import dari Nigeria, Julious Oiboh tidak sempat bersama skuad itu kerana difahamkan menghadapi masalah peribadi dan sudah pulang ke negaranya.