Taman Syurga bawa jelajah angkasa
Lagu tampil konsep berdakwah sambil berhibur
Ia hadiah paling istimewa buat Bagio apabila diberi kesempatan menaiki helikopter bagi meninjau panorama indah bandar raya Kuala Lumpur. Peluang itu hadir sempena kelahiran single terbarunya, Taman Syurga hasil ciptaan Awang BPR dan lirik nukilan Hairul Anuar Harun.
Mengakui mulanya agak gayat ketika berada di angkasa, Bagio atau nama sebenarnya Bahagia Daharun, 45, beritahu perasaan itu hilang dengan sendirinya apabila melihat keindahan ibu kota yang pesat membangun.
Tempoh enam minit berlegar di angkasa seakan-akan tidak mencukupi, namun ia tetap memberikan kepuasan buat Bagio dan wakil media yang diberikan peluang berharga itu.
Bercerita mengenai
Taman Syurga, Bagio berkata, penghasilannya amat menarik kerana menampilkan konsep berdakwah sambil berhibur.
“Pertamanya saya ucapkan terima kasih kepada Awang BPR kerana dia memberi peluang bekerjasama dengannya.
Begitu juga syarikat Riyadhul Jannah Asia (M) Sdn Bhd yang mempunyai visi menerbitkan single hebat ini sebagai strategi memperkenalkan nama mereka.
“Lagu ini terhasil kerana kepayahan penciptanya,
Awang bagi mencari kolaborasi bersesuaian. Akhirnya kolaborasi antara Awang, Hairul dan saya terjadi juga,” katanya.
Jelas Bagio, Taman Syurga adalah lagu yang menimbulkan keinsafan untuk pendengar.
“Melodinya sangat mesra telinga dan liriknya mempunyai makna mendalam. Ia mengisahkan detik manusia berdepan sakaratul maut. Bagaimanapun, kreativiti Hairul berjaya mencorak liriknya untuk kelihatan lebih lembut dan tidak terlalu menjurus kepada kematian.
“Peminat kena dengar dan fahamkan melodi serta liriknya, barulah dapat merasai karya yang menyentuh perasaan ini,” katanya.
Menurut Bagio lagi, lagu berkonsep pop kerohanian bukanlah janggal buatnya kerana ketika bersama kumpulan Damasutra lagi, mereka sudah mendendangkan lagu begini.
“Banyak lagu kami menjurus kepada kebesaran
Ilahi. Momentum itu terus saya bawakan kerana percaya kekuatan menyampaikan lagu begini masih ada pada saya.
Saya teruskan lonjakan itu supaya peminat tidak rasa terlalu ada perbezaan sama ada ketika saya bersama Damasutra ataupun tampil solo.
“Kelainan yang diperlihatkan dalam Taman Syurga ialah kematangan saya dalam nyanyian. Pembabitan dalam industri kini mencecah 30 tahun dan saya kena perhalusi banyak perkara serta fokus agar single ini diterima peminat,” terangnya.
Sementara itu Bagio mengakui kos besar turut diperuntukkan untuk video muzik Taman Syurga, arahan pengarah Murali Abdullah.
“Video muzik itu menampilkan saya, Datuk Jalaluddin Hassan, Johan Asari, Amanda Misbun, Awang BPR,
Alif Aziz dan Murali sendiri. Kami semua menangis dalam video muzik Taman Syurga. Ini muzik video pertama arahan Murali dan dia sendiri mengakui terpanggil untuk mengarahkannya.
“Ada juga dimuatkan babak Datuk Jalaluddin di Makkah.
Kos pembikinan video muzik itu besar demi ukhuwah dan kerana Allah SWT,” katanya yang berterima kasih terhadap Pengarah Urusan Riyadhul Jannah Haslam Shariff.
Terang Bagio, menerusi video muzik ini, akan timbul satu fenomena untuk peminat kembali membeli cakera dapat (CD).
“CD akan dijual secara dalam talian pada harga RM10 tidak termasuk kos penghantaran. Peminat boleh mendapatkannya menerusi Facebook Riyadhul Jannah. Daripada hasil jualan, sumbangan RM1 akan didermakan kepada badan yang memerlukan,” katanya.